Kenapa Santhara boleh tapi rakyat tidak boleh?

single-image

Dua tiga hari ini heboh berkenaan Ahli Parlimen Segamat merangkap Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan mengambil cuti selama 55 hari semata-mata ingin melawat isteri dan anak-anak di New Zealand.

Walaupun dalam kenyataan medianya mengatakan bahawa diri telah mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan dan mendapat kelulusan pada 23 Disember. Tetapi bagi rakyat ia tetap satu prosedur operasi standard (SOP) yang berat sebelah dan tetap bertentangan dengan SOP yang telah dikemukakan oleh pihak kerajaan sebelum ini.

Setahu saya, hanya alasan tertentu sahaja yang dibenarkan seseorang itu ke luar negara misalnya lawatan Perdana Menteri tempoh hari ke Indonesia atas dasar kerja. Jadi bagi kami sebagai rakyat amat tidak puas hati apabila YB Santhara memberikan alasan melawat ahli keluarga untuk ke luar negara.

Ini satu keputusan yang amat tidak adil bagi rakyat. Bayangkan rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diarahkan duduk rumah dan tidak melakukan pergerakan rentas daerah jauh sekali rentas negeri. Tetapi YB Santhara hanya berbekalkan alasan melawat ahli keluarga, boleh melakukan pergerakan ke luar negara.

Hairannya, adakah YB Santhara lupa atau buat-buat lupa yang negara kita sedang berhadapan dengan krisis yang paling besar iaitu pandemik Covid-19? Jadi perlu ke YB Santhara memohon cuti rehat dalam keadaan negara yang kelam kabut dan rakyat juga terumbang-ambing tanpa kerja?

Kalau nak cakap tentang cuti rehat, sepatutnya cuti rehat ini sesuai diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Sepanjang pandemik ini banyak jasa beliau telah taburkan kepada rakyat dan negara. Tetapi bagaimana pula YB Santhara, apa yang YB buat untuk rakyat sepanjang tempoh pandemik ini?

Tidak kisahlah ambil cuti tanpa gaji sekali pun, yang kami sebagai rakyat kisah kenapa rakyat tidak boleh ke luar negara walaupun hanya keseberang negara iaitu Singapura untuk ulang alik bekerja. Tetapi YB Santhara tanpa alasan yang kukuh dibenarkan ke luar negara? Kami harapkan kerajaan segera memberi jawapan mengenai isu kian panas di media sosial sekarang ini.

Mohd Iqmal
Aktivis Muda Johor

Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress.

Leave a Comment

Your email address will not be published.