Kenapa perlu takut tulisan jawi?

single-image

Tulisan jawi digunakan masyarakat Melayu di Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu ratusan tahun lamanya. Kini, ianya kekal sebagai salah satu lambang negara dan diabadikan dalam Jata Negara, wang kertas ringgit, jata negeri serta Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.

Keputusan kerajaan memperkenalkan seni khat dalam mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 ditentang pelbagai pihak, terutamanya kumpulan pendidikan Cina seperti Dong Zong dan Jiao Zong.

Malah, menerusi hantaran di Facebook, pemimpin DAP, Lim Lip Eng mempersendakan tulisan jawi dengan menyamakannya dengan “menyapu baja tahi lembu ke muka sendiri”.

Sedar tidak golongan ini bahawa mereka menghina dan mempersenda salah satu lambang negara yang patut mereka hormati, sekiranya mereka ingin menjadi warganegara Malaysia?

Tulisan jawi menjadi teras perkembangan bahasa Melayu yang sebelum ini menggunakan tulisan Rencong, Pallava dan Kawi pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Srivijaya pada kurun ke-7 Masihi.

Apabila Islam dianuti majoriti orang Melayu, tulisan jawi diangkat sebagai tulisan untuk bahasa Melayu dan digunakan dalam Batu Bersurat Terengganu pada 1303, Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka pada kurun ke-15.

Bahasa Melayu yang wujud kini digunakan sebagai “lingua franca” atau bahasa perantaraan berkurun lamanya sebagai bahasa ilmu, perdagangan dan perhubungan antarabangsa berteraskan tulisan jawi dalam menyampaikan wadah ilmu serta maklumat.

Menjelang kemerdekaan negara pada 1957, orang Melayu hanya bersetuju membenarkan kerakyatan diberikan kepada pendatang bukan Melayu, sekiranya kedaulatan raja Melayu dipelihara, hak istimewa orang Melayu dijaga, Islam dijadikan agama rasmi persekutuan dan bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan. Perkara asas kenegaraan ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya tiada kompromi sebegini, jutaan pendatang bukan Melayu di Tanah Melayu ketika itu akan terbiar tidak bernegara, sekaligus mengakibatkan orang bukan Melayu di Tanah Melayu ketika itu mengalami nasib sama dengan etnik Rohingya di Myanmar hari ini.

Implikasi ini dapat dilihat di Brunei sekarang yang mempunyai sejumlah besar orang Cina tiada status kewarganegaraan.

Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan. Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan ia sebagai bahasa rasmi Persekutuan. Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 pula menyebut tulisan rasmi bahasa Melayu ialah tulisan rumi tanpa melarang penggunaan tulisan jawi dalam bahasa kebangsaan.

Amat memalukan sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang dilahirkan dan dibesarkan di negara ini tidak mampu menguasai bahasa Melayu. Ramai rakyat Malaysia yang marah apabila digelar pendatang dan disuruh pulang ke tanah leluhur mereka.

Akan tetapi, bagaimanakah stigma pendatang boleh dihilangkan sekiranya mereka yang bergelar rakyat ini tidak fasih bahasa kebangsaan? Kini, tulisan jawi pula tidak dihormati dan dianggap tidak penting dalam arus pendidikan negara oleh segelintir masyarakat minoriti.

Bagaimanakah seseorang itu membezakan rakyat Malaysia dengan warganegara China, India atau British sekiranya mereka tidak menghormati simbol utama negara, yakni bahasa Melayu dan tulisan jawi?

Sekiranya pekerja Bangladesh dan Nepal boleh menguasai bahasa Melayu tanpa sebarang kesusahan, kenapakah sukar bagi sesetengah rakyat Malaysia menguasainya?

Di media sosial, terdapat komentar sombong mengatakan bahasa Melayu dan tulisan jawi tidak berguna dan tiada nilai. Perlu diingat, selain Malaysia, Brunei, Singapura dan Timor Leste, bahasa Melayu (atau bahasa Indonesia) dijadikan bahasa kebangsaan negara yang mempunyai penduduk ke-4 teramai di dunia dan bakal menjadi kuasa ke-5 terbesar di dunia menjelang 2030 – Indonesia.

Tulisan jawi pula dimartabatkan Brunei, salah sebuah negara terkaya di muka bumi. Jadi, atas alasan apakah bahasa Melayu dan tulisan jawi dikatakan tidak berguna dan tanpa nilai?

Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia, simbol keutuhan dan perpaduan rakyat. Tulisan jawi pula adalah warisan negara yang sepatutnya dihormati individu yang mengaku diri rakyat Malaysia.

Kerajaan Barisan Nasional terdahulu tersilap kerana tidak mengangkat tulisan jawi dalam pembelajaran bahasa kebangsaan. Kesilapan yang ingin diperbetulkan Kementerian Pendidikan pada waktu kini perlu disokong.

Sekiranya Brunei boleh mengangkat tulisan jawi ke peringkat tertinggi, kenapa tidak kita? Sekiranya semua rakyat Malaysia ikhlas mengaku diri ialah warganegara, kenapa perlu takut mempelajari tulisan jawi yang merupakan warisan daripada perkembangan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan tercinta kita?

Prof Madya Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia.

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.