Kebajikan negara lebih penting dari main politik – Muhyiddin

single-image

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata soal kebajikan negara lebih penting daripada bermain politik.

Perdana Menteri berkata oleh kerana itu, beliau lebih senang untuk memberi fokus kepada kebajikan negara dan bukannya bermain politik atau mengelak daripada media.

“Saya bukan tidak buat sidang media atau mengelak media. Cuma saya memberi fokus kepada isu yang dihadapi negara setiap hari seperti COVID-19 dan soal pemulihan ekonomi.

“Media adalah satu perkara yang saya beri keutamaan… walaupun ramai yang berminat ingin tanya soalan politik. Nanti rakyat fikir saya lebih suka bermain politik daripada menjaga kebajikan negara,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media khas di kediamannya di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin pada awal sidang media itu turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban ekoran pandemik Covid-19 yang kini mencecah 159 orang.

“Kita telah ambil tindakan sepatutnya (dalam mengekang penularan). Mengikut rekod, jumlah kematian ini adalah lebih kecil berbanding jumlah kematian di negara lain,” kata beliau.

Sidang media itu diadakan secara langsung dari kediamannya memandangkan Perdana Menteri kini menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selama 14 hari sejak 5 Okt lepas.

Kuarantin itu berikutan beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli telah disahkan positif jangkitan Covid-19 pada Isnin dan menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

Sumber : Bernama

Leave a Comment

Your email address will not be published.