Kanak-kanak berpaut pada tembok ketika arus deras

single-image

PASIR GUDANG : Seorang kanak- kanak sempat berpaut hampir 15 minit pada tembok di bawah jambatan dekat Persiaran Seri Alam di sini, dari dihanyutkan di bawa arus deras Sungai Masai di sini petang tadi.

Zul Rosaidi Abdullah, 12, bersama dua rakannya menjala ikan di kawasan tersebut sebelum air sungai naik secara mendadak selepas hujan lebat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II, Aziddy Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.40 petang.

Katanya, satu jentera FRT dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama sembilan anggota ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

Anggota bomba menyelamatkan Zul Rosaidi yang berpaut pada tembok di bawah jambatan dekat Persiaran Seri Alam, petang tadi.
“Setibanya di lokasi kejadian seorang kanak-kanak lelaki berpaut di bawah jambatan akibat air naik mendadak dan keadaan arus deras.

“Ketika itu dimaklumkan mangsa bersama dua lagi rakan sedang menjala ikan. Rakan mangsa sempat naik ke darat apabila air sungai semakin tinggi kerana hujan lebat. Mangsa hanya berpaut di tembok sementara menanti pertolongan manakala rakan mangsa telah menghubungi bomba,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Aziddy, anggota bomba menggunakan tali penyelamat dan jaket keselamatan sebelum diserahkan kepada ibunya dan dirawat oleh pasukan kesihatan ambulan Hospital Sultan Ismail (HSI).

Sumber : Sinar Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.