‘Kami nak menteri yang profesional, bukan badut’

single-image

When elephant fight the grass will suffer.”

“Bodoh!”

“Bangang!”Iklan

“Menteri badut” yang memanifestasikan kedangkalan ilmu dan tutur kata mereka semakin terserlah selepas PH naik sebagai kerajaan.

Tidak dinafikan ketika pemerintahan kerajaan BN dahulu sudah wujud juga “menteri badut” sebegini.

Sehingga kini “menteri-menteri badut” melakukan persembahan jenaka mereka di parlimen.

Adakalanya jenaka yang dilakukan seronok untuk dilihat, tetapi kebanyakkannya menjadikan rakyat meluat dan tidak tahan dengan kecetekan ilmu dan sikap yang ditunjukkan oleh wakil-wakil rakyat sebegini.

Mereka dilantik menjadi menteri walaupun dengan kelayakan pendidikan yang minimum, apatah lagi dengan track record peribadi yang tidak secocok dengan peribadi seorang pemimpin rakyat.

Sampai bila rakyat Malaysia harus menghadapi ahli politik yang sebegini? Adakah selamanya rakyat Malaysia yang semakin berpendidikan harus diwakili oleh ahli politik yang tidak kompeten dan berkualiti?

Politik di Malaysia memerlukan ahli kabinet profesional yang mampu untuk menyeimbangkan dan melaksanakan peranan check-and-balance dalam sebarang dasar kerajaan.

Peranan ini amat penting bagi mengelakkan dasar yang dirancang tidak berdasarkan kepentingan peribadi atau pun kepentingan politik semata-mata.

Arus politik Malaysia perlu diberi nafas baru. Stereotaip bahawa ahli politik adalah mereka yang menipu telah beberapa kali dijustifikasi oleh kes mahkamah yang melibatkan pimpinan utama negara.

Rakyat Malaysia semakin bijak memilih pemimpin dan mereka sudah tentu bersetuju bahawa cogan kata “Kerajaan Bersih” yang dilaungkan kerajaan sekarang tidak mencukupi – melihatkan hubungan rapat ahli politik dengan golongan kapitalis di Malaysia.

Sekiranya kerajaan sekarang menawarkan ahli kabinet yang profesional pada pandangan mereka, namun adakah ideologi parti ahli tersebut profesional dan jujur secara keseluruhan?

Jika manifesto sebelum pilihan raya menjadi kayu ukur minimum untuk menguji kejujuran Kerajaan, rakyat Malaysia sudah pasti boleh mengetahui sejauh mana tahap kejujuran mereka dalam politik negara.

Profesionalisme yang merangkumi kepakaran dan daya intelektual baik dari segi pemikiran dan percakapan dalam kalangan ahli kabinet negara perlu didasari dengan sikap kejujuran.

Kejujuran boleh dibuktikan dengan tindakan ahli kabinet menjalankan tanggung jawab mereka sebagai wakil kepada rakyat dalam institusi pentadbiran negara.

Kejujuran juga perlu seiring dengan kompetensi mereka sebagai individu dalam memimpin politik negara.

Ilmu pengetahuan yang mencukupi, penampilan serta sikap yang selayaknya ada pada seorang ahli politik perlu diamati oleh semua ahli parlimen yang ada pada hari ini.

Dan hal ini menuntut rakyat Malaysia sebagai pemegang taruh terbesar politik negara untuk meneliti calon pilihan raya dan mengundi dengan lebih profesional.

Dan kali ini “menteri badut” akan ditinggalkan dalam sarkas mereka sahaja. Biarkan si luncai dengan labu-labunya.

AZZAH SUBOH ialah pengundi muda parlimen Tanjung Piai.

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.