Johor tutup 968 institusi pendidikan Islam kerajaan, swasta

single-image

JOHOR BAHRU : Semua 968 institusi pendidikan Islam kerajaan dan swasta di bawah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) ditutup bermula esok hingga ke hari akhir persekolahan pada 17 Disember ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, langkah itu sebagai usaha membantu kerajaan Persekutuan memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19).

“Penutupan itu melibatkan 571 Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor (SAKNJ), 197 Tadika Agama Johor (TAJ), 109 madrasah tahfiz swasta, 31 sekolah rendah agama swasta serta lapan sekolah rendah agama dan 20 sekolah menengah agama bantuan kerajaan.

“Ini termasuk 13 madrasah pondok swasta, lima sekolah rendah agama rakyat, empat madrasah Malabar Johor, sembilan sekolah menengah agama swasta, dua sekolah menengah agama negeri Johor, satu maahad tahfiz negeri Johor dan satu Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tosrin berkata, sepanjang tempoh penutupan itu, proses pengajaran dan pembelajaran di rumah akan tetap diteruskan di rumah mengikut kesesuaian guru dan pelajar, manakala pentadbir sekolah perlu memastikan arahan tersebut dilaksanakan.

Beliau berkata, semua guru perlu berada di tempat bertugas masing-masing serta sentiasa mematuhi arahan Bahagian Pendidikan Islam JAIJ, Kementerian Pendidikan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, bagi pelajar di asrama, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

Bagaimanapun, katanya, pelajar boleh terus tinggal di asrama sementara menunggu ibu bapa atau penjaga selewat-lewatnya 5 petang pada Selasa ini.

Di sepanjang tempoh tersebut, katanya, pelajar akan berada di bawah penjagaan warden asrama dan segala keperluan makan minum mereka akan disediakan oleh pihak sekolah.

Jelasnya, bagi peperiksaan di bawah Bahagian Pendidikan Islam JAIJ seperti Peperiksaan Ujian Kelayakan Darjah Khas (UKDK), Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) dan Sijil Menengah Agama (SMA) ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

“Takwim penggal persekolahan dan cuti persekolahan bagi tahun 2021 akan diselaraskan semula oleh Bahagian Pendidikan Islam JAIJ.

“Kakitangan yang berkhidmat sama ada di bahagian itu, Pejabat Pendidikan Islam Daerah dan institusi-institusi pendidikan Islam yang berkaitan perlu merujuk surat yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tarikh 8 November 2020,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.