Johor tunggu kelulusan buka dua PKRC swasta tempatkan warga asing

single-image

JOHOR BAHRU : Kerajaan Negeri Johor sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan persekutuan untuk membuka dua Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) swasta bagi menempatkan pesakit warga asing.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata PKRC berkenaan yang dijangka  beroperasi pada Mac ini akan diletakkan di dua daerah iaitu di sebuah hotel di Iskandar Puteri dan asrama pekerja di Kota Tinggi.

Katanya, setiap PKRC dengan kapasiti kira-kira 250 pesakit itu akan menempatkan warga asing terdiri daripada pekerja dan pendatang asing tanpa izin.

“Kita masih menunggu kelulusan terutama daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum PKRC ini dapat beroperasi.

“Kos untuk berada di PKRC akan ditanggung oleh majikan atau pesakit itu sendiri. Kalau pesakit pendatang tanpa izin mereka akan diletakkan di PKRC berkenaan jika pusat  tahanan penuh,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PKRC Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang menempatkan 277 pesakit di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Datuk Dr Aman Rabu dan Datuk Bandar MBPG Asman Shah Abdul Rahman.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai vaksin, Hasni berkata setakat ini seramai 18,000 petugas barisan hadapan dari Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri ini dijangka akan menerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Untuk fasa pertama ini, ia juga akan termasuk petugas barisan hadapan bukan dari KKM, tetapi masih dalam proses untuk  memuktamadkan senarai yang bakal terima,” katanya.

Beliau  turut menjelaskan jumlah pusat pemberian vaksin di negeri ini juga masih belum dimuktamadkan.

“Pegawai Kesihatan dan Pegawai Daerah akan menjadi Pengerusi Pusat Bencana Daerah dan pusat ini akan menggunakan dewan-dewan..untuk penjara, mungkin di lokasi penjara itu sendiri.

“Kita akan memuktamadkan dengan segera khususnya senarai penerima vaksin,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Comment

Your email address will not be published.