Johor terus berharap pintu sempadan dibuka segera

single-image

JOHOR BAHRU : Johor terus berharap supaya Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura dengan segera bagi membolehkan rakyat dapat kembali bekerja, sekali gus merancakkan semula ekonomi negeri.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, Johor dan Singapura memiliki hubungan yang unik dan kerajaan tidak boleh menyamakan perlaksanaannya menyebabkan gelembung perjalanan atau ‘travel bubble’ secara langsung antara rakyat negara ini ke negara berstatus hijau dengan keadaan Johor-Singapura. 

“Saya akan terus mendesak Kerajaan Persekutuan supaya tidak melihat sempadan Johor-Singapura ini seperti  kaedah ‘green travel bubble’ seperti Malaysia-Australia atau apa-apa negara.

“Jadi, kerajaan perlu pertimbangkan dengan tempoh moratarium yang akan tamat hujung bulan ini, dengan keadaan ekonomi yang masih lagi (terjejas) walaupun menunjukkan tanda-tanda sudah mula adanya peningkatan, tetapi kes pengangguran masih lagi menjadi kebimbangan dan keutamaan oleh kerajaan negeri.

“Kerana penyumbang besar terhadap peningkatan pengangguran di Johor adalah pintu sempadan yang ditutup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Lego Mural sebagai Penghormatan Kepada Frontliners COVID-19 di Legoland Malaysia Resort, di sini hari jumaat yang lalu.

Beliau berkata, isu kemelesetan ekonomi dan pengangguran akibat penutupan sempadan ini turut kerap dibangkitkan oleh wakil rakyat dalam sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam. 

“Ucapan-ucapan daripada wakil-wakil rakyat kerajaan mahu pun pembangkang, kita semua sependapat bahawa pintu sempadan Singapura-Johor perlu kita buka segera khususnya kepada mereka yang berulang-alik secara harian. Termasuklah sama ada bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura atau pun rakyat Singapura yang bekerja di Johor.

“Kalau ekonomi negara kita pada suku kedua merudum kepada 17.1 peratus, negeri Johor lagi teruk kerana pergantungan ekonomi secara langsung dengan negara jiran singapura. 

“Dengan perkara yang belaku ini, tentulah kita mengharapkan supaya kerajaan memahami lebih sedikit keadaan kita di Johor ini,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan, YB Dato’ Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Sumber : Makmur Johor

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.