Johor sangat penting, rampas semula kuasa.

single-image

AYER HITAM, 27 Julai – Pagi ini, YB Dato’ Sri Reezal Merican Bin Naina Merican selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia (MT) merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas telah merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ayer Hitam.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, YB Datuk Ir. Hj. Hasni Mohammad, YB Datuk Samsol Bari Jamali, Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam dan barisan kepimpinannya, YBhg. Datuk Zakaria Dullah (Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam) dan YB Pn Nor Rashidah Binti Hj Ramli (Naib Ketua UMNO Bahagian Sri Gading) sebagai Ketua Penyelaras mewakili UMNO Negeri Johor.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Tn. Hj. Alias Bin A. Bakar, Yang Dipertua PAS Kawasan Ayer Hitam dan barisan kepimpinannya.

Ketika ucapan Ketua Bahagian, YB Datuk Samsol Bari Jamali telah mengingatkan bahawa, “kita akan terus menjadikan UMNO sebuah parti yang sentiasa memberi khidmat bakti, dan kehadirannya dirasai oleh rakyat keseluruhannya walaupun ketika UMNO dan Barisan Nasional tidak memegang tampuk kerajaan”.

Beliau dan seluruh kepimpinan UMNO Ayer Hitam bertekad akan terus berusaha keras dalam mempertahankan kerusi-kerusi yang ada, dan mendapatkan kembali DUN Yong Peng.

“ Insyaallah, “tonik dan makjun” yang bersama saya selama ini iaitu semua ahli-ahli parti UMNO Bahagian Ayer Hitam serta kerjasama dengan PAS akan memberi kelebihan kepada kita untuk merampas kembali tampuk pemerintahan kerajaan negeri mahupun pusat”, ujarnya.

Dalam masa yang sama, YB Datuk Ir Hasni yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor turut mengingatkan pada semua perwakilan bahawa Jentera Pilihanraya perlu digerakkan mulai sekarang dan begitu juga dengan daftar pengundi. Menurutnya, perkara-perkara tersebut tidak harus diambil mudah dan seluruh kepimpinan sama ada diperingkat cawangan dan bahagian harus bersama-sama menjayakan usaha tersebut.

Demikian itu, Hasni yakin bahawa perancangan dan kesediaan tersebut akan dapat merampas kuasa daripada Pakatan Harapan di Negeri Johor ini.

Dalam pada itu, YB Dato’ Sri Reezal Merican mengatakan, kehadiran perwakilan UMNO Bahagian Ayer Hitam yang cukup padu ini telah memberi isyarat yang cukup jelas bahawa UMNO amat bersedia untuk menghadapi Pilihanraya pada bila-bila masa sahaja.

Menurutnya lagi, “Negeri Johor ini sangat penting, maruah kepada UMNO secara keseluruhannya. Bumi di mana tempat lahirnya UMNO. Sebab itu, Pakatan Harapan sebelum ini bersungguh-sungguh hendak melihat UMNO rebah di bumi kelahirannya”.

Dan atas faktor itu, beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO di Johor untuk terus bangkit. Mengenai penyatuan ummah, menurutnya, takdir Allah S.W.T juga telah menemukan titik penyatuan antara dua gagasan terbesar UMNO dan PAS, dan beliau mengingatkan kepada semua perwakilan bahawa usaha penyatuan ummah ini jika digarap dengan bersungguh-sungguh oleh semua pihak, maka hasrat untuk menjadikan kerajaan Pakatan Harapan sebagai kerajaan sepenggal, akan tercapai.

Sumber : https://umnojohorofficial.com

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.