Johor pertingkat usaha pastikan tidak ketinggalan digitalisasi global

single-image

JOHOR BAHRU ; Kerajaan Negeri Johor akan memperkasakan serta meningkatkan lagi usaha bagi memastikan negeri ini tidak ketinggalan dalam pembangunan digitalisasi global.

Menteri besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, ekosistem ekonomi digital dan internet kini menjadi tumpuan golongan ilmuan dan pencipta (innovators).

”Bagi memastikan Johor terarah kepada pembangunan digitalisasi, Kerajaan Negeri Johor telah mewujudkan pelan digital Johor yang menjadi antara tujuh teras utama dalam Ikhtiar Makmur Johor.

”Menerusi teras ini, Kerajaan Negeri Johor akan memastikan kemajuan teknologi dapat dinikmati oleh kesemua lapisan masyarakat dengan capaian internet ke seluruh negeri selain memperkasakan teknologi kewangan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan dan Penyerahan Hadiah Pameran Inovasi Asia Antarabangsa 2020 (AIINEX 2020) di Pulai Spring Resort, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada peserta yang menyertai pameran sepanjang AIINEX 2020 secara dalam talian.

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri Johor akan sedia memberi kerjasama kepada golongan ilmuan dan penyelidik dalam menjalankan penyelidikan dan forum ilmiah di negeri ini.

”Kerajaan Negeri Johor sentiasa terbuka dalam memastikan dan menyediakan kemudahan kepada golongan ilmuan dan penyelidik, khususnya perkara-perkara yang membabitkan pembangunan negeri ini,” katanya.

Sumber : Makmur Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published.