Johor mampu bangkit semula sebagai kuasa ekonomi

single-image

KLUANG : Johor mampu bangkit semula menjadi kuasa ekonomi di negara ini walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kelembapan ekonomi ekoran penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, Johor memiliki potensi besar serta kecekapan pentadbiran yang berupaya mencapai matlamat mengembalikan kemajuan ekonomi negeri.

“Kita amat yakin dan percaya, Johor adalah sebuah negeri yang mempunyai potensi untuk menjadi negeri maju dan negeri yang berjaya.  Haruslah kita usahakan, haruslah kita jadikannya matlamat kita.

“Saya berbesar hati pentadbiran kerajaan negeri yang cekap adalah salah satu daripada ciri-ciri yang ada pada kerajaan negeri Johor.

“Saya juga yakin dan percaya bahawa dalam tempoh mendatang ini kita akan dapat kerjasama daripada semua pihak yang ada dan kita sedar bahawa tugas kita ialah untuk membina semula keyakinan rakyat kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Kampung Dato’ Ibrahim Majid sempena lawatan ke daerah Kluang, hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, perkara itu bukan satu tugas mudah kerana Johor lebih terkesan pada masa ini kerana negara jiran, Singapura yang sebelum ini secara tidak langsung menyumbang terhadap ekonomi negeri turut berdepan masalah ekonomi.

“Kita akan lihat bagaimana dapat meningkatkan kecekapan kita dalam menguruskan bukan hanya ekonomi, malah masyarakat,” katanya.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat berkenaan jangkitan COVID-19 di daerah Kluang, termasuk di Kampung Dato’ Ibrahim Majid yang  pernah diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula 27 Mac hingga 28 April 2020.

Taklimat tersebut disampaikan Pegawai Daerah Kluang, Haji Ismail Abu.

Dalam lawatan itu, YAB Menteri Besar turut menyerahkan bantuan berjumlah RM456,000 kepada mangsa COVID-19 di daerah tersebut.

Beliau turut menyampaikan sebanyak 20,800 penutup hidung dan mulut sebagai bantuan pasca COVID-19 kepada 29 sekolah di daerah berkenaan.

Sumber – Makmur Johor

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.