Johor jalankan Kajian Komuniti PPR bermula April

single-image

ISKANDAR PUTERI : Kerajaan Negeri Johor akan melaksanakan Kajian Komuniti di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) bermula April depan dalam usaha membantu meningkatkan kualiti hidup sekali gus mengenal pasti tahap kesihatan, kebersihan, pendapatan, keselamatan serta penglibatan dalam komuniti.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Ayub Jamil berkata, sebagai permulaan, kajian selama setahun yang melibatkan peruntukan RM1.5 juta itu akan dijalankan di dua lokasi terlebih dahulu iaitu di PPR Desa Mutiara, Tebrau dan PPR Melana 1 di Perling.


Beliau berkata antara pihak yang akan terlibat dalam kajian itu adalah Bahagian Perumahan, Pejabat Tanah dan Pejabat Daerah, dan menurutnya secara keseluruhan setakat ini terdapat kira-kira 80,000 penduduk di 13,000 unit PPR di seluruh Johor.


“Apa yang berlaku di PPR sekarang ini adalah tiada jawatankuasa, tiada program untuk diatur, tiada rasa ‘pemilikan’ terhadap rumah sendiri, masalah kebersihan, serta tiada rasa tanggungjawab terhadap kawasan rumah mereka.


“Jadi kita akan kaji apa punca berlaku perkara ini, adakah dari segi pengurusan atau dasar kita yang salah.. berdasarkan itu, kita akan bentang pada kerajaan dan apa tindakan-tindakan seterusnya yang perlu kita ambil,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Undian Terbuka Rumah Mampu Biaya, di sini, hari ini.


Ayub berkata menerusi kajian itu segala bentuk bantuan yang akan diberikan juga dapat disalurkan dengan lebih mudah berdasarkan data yang diperolehi.

“Apa yang kita hasratkan hasil daripada kajian ini ialah kita boleh tingkatkan kualiti hidup mereka.. banyak program akan diatur bukan hanya setakat disiplin tentang pengurusan sampah tetapi juga data isi rumah, pendapatan, keperluan dan apa pekerjaan. Kajian ini akan dilakukan meliputi segenap aspek,” katanya.


Sementara itu, Ayub berkata kerajaan negeri menyasarkan 4,111 unit Rumah Mampu Biaya dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini.


“Selain itu, antara lain rumah PPR di seluruh Johor iaitu sebanyak 4,027 juga dijangka siap tahun ini.. begitu juga projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebanyak 2,629 unit dan 724 unit rumah penjawat awam,” katanya.


— BERNAMA

Leave a Comment

Your email address will not be published.