Johor jadi hab pembekal makanan

single-image

JOHOR BAHRU : Johor bakal menjadi hab pembekal makanan utama bagi Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada masa hadapan, sekali gus membuka peluang baharu bagi industri tersebut di negeri ini.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, kedua-dua negara itu telah menunjukkan minat terhadap Johor dalam hal berkenaan dan kerajaan negeri telah memulakan perbincangan berhubung perkara itu. 

“Kita telah meninjau bahawa negara Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberi tumpuan bagi jaminan bekalan negara-negara mereka dan tentunya Johor dari segi lokasinya kepada Singapura adalah destinasi pilihan. Malah, Singapura mengimport lebih RM500 juta nilai makanan setiap bulan.

“Menerusi Kementerian Luar juga, UAE juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai hab makanan dan Johor telah menerima saranan supaya dapat meningkatkan lagi keupayaan untuk mengeluarkan produk-produk makanan berasaskan akuakultur, buah-buahan dan sebagainya yang sememangnya menjadi kekuatan utama sektor pertanian di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Sains Tanah Malaysia di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, Johor perlu mengukuhkan perancangan berkaitan Rangka TIndakan Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor bukan sahaja bagi negara, malah juga negara jiran.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah mengumumkan inisiatif itu dalam salah satu komponen perlaksanaan Tujuh Ikhtiar Makmur Johor yang bertujuan untuk merancakkan eksport produk makanan ke negara luar.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Datuk Dr. Marzalina Mansor dan Presiden Persatuan Sains Tanah Malaysia, Dr. Rosazlin Abdullah.

Sumber : Makmur Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published.