Johor cari sumber air alternatif

single-image

PASIR GUDANG : Kerajaan Negeri Johor bersama-sama pihak yang berkepentingan akan menjalankan kajian bagi mengesan sumber air baharu di negeri ini.

Menteri besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, usaha itu selaras dengan kerancakan pertumbuhan ekonomi dan pertambahan penduduk di negeri ini yang bakal menjadikan permintaan terhadap bekalan air bersih meningkat dua kali ganda menjelang 2040.

”Usaha berkenaan bagi mencari sumber air alternatif bagi takungan-takungan simpanan air sedia ada di negeri ini. Buat masa ini, sumber air permukaan yang terhad dan tercemar memerlukan kos rawatan yang sangat tinggi. 

”Kerajaan negeri akan mencari sumber air alternatif bagi menampung kegunaan yang semakin meningkat,” katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Pemantauan Air Sedunia di Empangan Upper Layang, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Yb Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan  dan Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn. Bhd., Sr Nor Ifuan Md. Nor.

YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri menerusi Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 telah meletakkan kelestarian alam sekitar sebagai salah satu daripada lapan teras utamanya.

Menurutnya, penekanan terhadap kelestarian alam sekitar, khususnya dalam menjaga sumber-sumber asli adalah sangat mustahak bagi  memastikan sumber airnya tidak dikorbankan atas nama pembangunan dan kemodenan.

Kerajaan Negeri Johor juga akan sentiasa berusaha mencari pendekatan baharu bagi memastikan kelestarian pengurusan air yang efektif, katanya.

“Masyarakat pada hari ini sedang menghadapi cabaran akibat isu berkaitan sumber dan ketersediaan air yang semakin mendesak. Maka solusi yang paling ampuh dalam mendepani isu tersebut adalah pengurusan sumber air yang bijak dan terarah.

”Justeru, Kerajaan Negeri amat memerlukan perubahan paradigma berkenaan daya usaha menguruskan sumber airnya,” katanya.

Sumber : Makmur Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published.