Johor cadang PKPB bersasar

single-image

Johor Bahru: Kerajaan Johor hari ini mengesyorkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam dilaksanakan secara bersasar di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, cadangan itu diputuskan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Iskandar, dekat sini, hari ini.

“PKPB seharusnya hanya dikuatkuasakan di kawasan atau daerah Zon Merah yang mempunyai jangkitan tinggi, dan bukannya di seluruh negeri seperti yang dilaksanakan sejak semalam.

“Perkara itu amat penting supaya pelaksanaannya tidak menjejaskan sektor ekonomi dan aktiviti harian rakyat di kawasan yang mempunyai jangkitan rendah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hasni berkata, kerajaan Johor turut menyarankan prosedur operasi standard (SOP) khas kepada kerajaan Persekutuan bagi pembukaan skim ketiga selepas Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), iaitu Daily Commuting Arrangement (DCA) dengan Singapura.

“Meskipun kuasa penuh pembukaan sempadan kedua-dua negara di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, kerajaan Johor bersedia dengan kapasiti sepatutnya, bagi menjayakan DCA seperti yang disyorkan.

“Pembukaan skim ketiga atau DCA ini amat penting bagi memudahkan lagi pergerakan rakyat Malaysia yang masih berada di Singapura sejak penutupan sempadan Malaysia dan Singapura lapan bulan lalu,” katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, mesyuarat JKKN hari ini turut mencadangkan supaya tempoh kuarantin bagi rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air (bukan di bawah kategori PCA) hanya tujuh hari, di pusat kuarantin dan rumah masing-masing, berbanding 14 hari sebelum ini.

“Kerajaan Johor berharap saranan ini dipertimbangkan dengan kadar segera oleh kerajaan Persekutuan, demi kebaikan dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.