Johor cadang bina kompleks Islam baharu

single-image

KULAI – Kerajaan Negeri Johor merancang membina sebuah kompleks Islam baharu berikutan kompleks sedia ada iaitu Kompleks Islam Iskandar yang terletak di tengah pusat bandar raya Johor Bahru terlalu padat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Datuk Tosrin Jarvanthi berkata, kompleks baharu itu akan menempatkan Pejabat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Pejabat Mufti.

“Cadangan pembinaan kompleks baharu empat tingkat itu ialah di kawasan tempat letak kenderaan dekat Kompleks Islam Iskandar.

“Pada masa kini, Kompleks Islam Iskandar menempatkan Baitulmal, Pejabat Kadi Johor Bahru, Pejabat Mufti, MAINJ, Bahagian Dakwah dan Pendidikan Islam,” katanya ketika ditemui di Bandar Putra Kulai di sini semalam.

Sementara itu, Tosrin berkata, sebanyak RM60 juta peruntukan daripada Belanjawan Johor 2021 diperlukan bagi pembangunan sekolah agama, masjid, surau, dakwah dan pembinaan kompleks baharu tersebut.

Menurutnya, tumpuan turut diberikan kepada pembinaan 12 buah sekolah agama baharu dan membaiki kerosakan bangunan sekolah agama yang kritikal terutama di Batu Pahat, Johor Bahru dan Mersing.

“Sebanyak RM3 juta diperlukan bagi membaiki kerosakan bangunan sekolah agama. Kerajaan negeri pada masa sekarang memberi keutamaan kepada mana-mana sekolah agama yang perlu dibaiki dan bukan lagi mengikut giliran sekolah.

“Sebelum ini, walaupun sekolah itu sudah rosak tetapi jika belum sampai gilirannya, mereka kena tunggu,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.