Johor beri rebat cukai tanah sehingga 15%

single-image

KOTA ISKANDAR : Kerajaan Negeri Johor hari ini mengumumkan pemberian rebat antara lima hingga 15 peratus bagi cukai tanah bermula tahun ini hingga 2022.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, pada tahun ini sebanyak 15 peratus diskaun diberikan dan masing-masing 10 serta 5 peratus pada 2021 dan 2022.

Berita baik itu diumumkan beliau dalam ucapan penggulungan Rundingan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020 pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14, di sini hari ini.

Beliau menegaskan, sebagai Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dalam melaksanakan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, cukai itu dikurangkan selepas dirasakan terlalu tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.

”Saya sedar dan faham, pemberian rebat ini akan menjejaskan hasil kepada Kerajaan Negeri pada tahap yang amat luar biasa. Seperti yang semua tahu, sumbangan hasil daripada cukai tanah menyumbang hampir 70 peratus kepada pendapatan Negeri Johor.

“Tapi saya percaya, semuanya ini adalah tindakan luar kebiasaan bagi memastikan keluhan semua pihak didengari dalam keadaan ekonomi semasa yang getir sekarang. 

“Kita yakin ekonomi Johor akan pulih kembali dan diharapkan keadaan ekonomi akan lebih stabil dari sekarang pada tahun 2022 kelak,” katanya.

Terdahulu, YAB Menteri Besar menegaskan, kerajaan terkini (Perikatan Nasional)  tidak terlibat dalam perbincangan pindaan cukai tanah berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Kerajaan Negeri Johor akan meneruskan inisiatif potongan 50 peratus cukai tanah untuk tanah Rizab Melayu kepada pemilik yang  mempunyai tanah berkeluasan lebih lima hektar seperti yang diumumkan pada Mac lalu.

“Diskaun ini secara langsung dapat meringankan bebanan masyarakat luar bandar, khususnya di tanah rancangan FELDA,” katanya.

Sumber ; Makmur Johor

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.