Johor benarkan aktiviti agama di semua surau, masjid

single-image

JOHOR BAHRU : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan aktiviti agama di semua surau dan masjid di negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Jumaat ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvantri berkata, tiada jumlah jemaah yang akan dihadkan dalam sebarang aktiviti tersebut namun mereka masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Semua perhimpunan atau aktiviti masjid yang dibenarkan seperti program membudayakan al-Quran dan as sunnah yang tidak melebihi 30 minit selepas solat.

“Begitu juga program bacaan surah Yassin dan tahlil dalam tempoh selepas solat Maghrib dan Isyak.

“Begitu juga bacaan surah al-Mulk dan surah al-Kahfi berdasarkan waktu sebenar program,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadot dan Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Datuk Md Rofiki A Shamsudin.

Tosrin berkata, turut dibenarkan ialah program kuliah takmir masjid dan surau iaitu kuliah Maghrib dilaksanakan selepas solat Maghrib hingga Isyak.

Katanya, kuliah Subuh, kuliah Duha, kuliah Zuhur, tazkirah Jumaat dan kuliah Isyak, semuanya dibenarkan hanya dalam tempoh tidak lebih satu jam.

Program dakwah seperti kursus jenazah, kursus haji dan umrah, kursus pra perkahwinan kelas tafaqquh berkitab, kelas pengajian al-Quran dan seumpamanya berdasarkan waktu sebenar program, katanya.

“Program selawat, ratib dan wirid juga berdasarkan waktu sebenar program.

“Program hari-hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul dan seumpamanya juga berdasarkan waktu sebenar program,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan semua pihak yang terlibat dengan pengurusan surau dan masjid serta umat Islam di negeri ini mematuhi arahan berkenaan.

Selain itu, solat Jumaat dan solat fardu lima waktu secara berjemaah dibenarkan mengikut satu pertiga kapasiti surau atau masjid dengan mematuhi penjarakkan fizikal.

Sumber : Sinar Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.