Johor bakal ada PRK dalam masa terdekat?

single-image

Kemelut yang membelenggu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) nampaknya masih belum ada tanda-tanda akan reda buat masa ini. Sebelum ini, timbul ketegangan di mana Tun Mahathir terlebih dahulu mengumumkan bekas Exco Johor, Mazlan Bujang sebagai Pengerusi BERSATU  Johor yang menggantikan Muhyiddin Yassin.

Sedangkan sebelum itu, Pengarah Media BERSATU Johor sendiri menguar-uarkan bahawa Muhyiddin Yassin akan mengumumkan Pengerusi BERSATU Johor yang baharu selepas Aidilfitri. Situasi ini nampaknya membuktikan spekulasi yang mengatakan parti BERSATU seolah-olah retak menanti belah adalah benar.

Ditambah lagi dengan berita yang mengejutkan sebelum kita menyambut ramadhan tempoh hari apabila Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal dikatakan bakal dipecat dari jawatan Setiausaha BERSATU Johor.

Ini menurut Utusan Online, Mazlan Bujang selaku bakal Pengerusi BERSATU membayangkan akan melakukan rombakan kecil ke atas barisan kepimpinan parti termasuk jawatan Setiausaha yang disandang oleh Dr Sahruddin Jamal sebaik sahaja tarikh mula berkuat kuasa jawatannya pada 25 Mei nanti. 

Namun pada hari pertama ramadhan pula, tiada angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja tular perbualan di aplikasi WhatsApp mengenai ADUN Larkin, Mohd Izhar Ahmad yang dikatakan mahu meninggalkan parti BERSATU dan akan menyerah surat untuk keluar parti dalam masa terdekat. Malah berita tentang ADUN Larkin ini juga mendapat perhatian daripada media.

Malah menerusi perbualan tersebut, ADUN Larkin ada memaklumkan bahawa dirinya bukan lagi Ketua Bahagian Labis sejak 1 April yang lalu. ADUN Larkin juga menyatakan punca utama dirinya bertindak sedemikian kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti BERSATU yang gagal dalam menyelesaikan semua sengketa yang timbul dalam parti tersebut.

Dalam pada itu, ada ura-ura yang turut mengatakan Mazlan Bujang juga dikatakan bakal meninggalkan parti BERSATU jika dirinya tidak diangkat sebagai pengerusi BERSATU Johor secara rasmi. Seperti yang kita sedia maklum, tarikh jawatannya berkuatkuasa adalah pada 25 Mei nanti, jadi dalam tempoh ini macam-macam boleh jadi. 

Jika khabar angin ini benar, ia bukan sahaja membuktikan bahawa parti BERSATU sedang retak menanti belah tetapi ia lebih serius daripada itu. Apa yang lebih serius lagi, situasi seperti ini akan membawa Johor untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Larkin dalam masa terdekat ini.

Apa yang lebih penting kini, rakyat perlu segera membuka mata dan menilai sendiri kemelut yang sedang berlaku dalam parti BERSATU yakni salah satu parti komponen yang ada dalam kerajaan Pakatan Harapan. 

Nilailah bagaimana seseorang Ketua Bahagian dan ADUN yang berada di dalam parti yang mana sedang menjadi kerajaan hari ini tiba-tiba sahaja meninggalkan parti itu. Mungkin ini mesej jelas kepada rakyat bahawa parti itu tidak layak menjadi sebuah kerajaan yang utuh pada hari ini. Fikir-fikirlah..

Sekian

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.