JKJAV perinci takrifan petugas barisan hadapan

single-image

KUALA LUMPUR: Petugas barisan hadapan ditakrifkan sebagai individu berisiko tinggi untuk mendapat dan menyebarkan jangkitan COVID-19.

Kelompok yang kini diberi keutamaan mendapatkan vaksin menerusi fasa satu Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 Kebangsaan itu dibahagikan kepada dua kategori.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) menjelaskan, kategori satu ialah anggota yang terbabit secara langsung dengan penjagaan rawatan dan kesihatan, meliputi institusi naungan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pertahanan, hospital pembelajaran dan swasta.

Kategori dua pula merangkumi anggota yang terbabit dalam sektor kesihatan, agensi pertahanan, keselamatan dan perkhidmatan penting.

“Kategori satu adalah anggota teknikal daripada kumpulan pengurusan dan profesional, paramedik serta auksiliari yang terbabit dalam penjagaan pesakit di kemudahan kesihatan.

“Mereka juga mengendalikan spesimen pesakit, nyah cemar persekitaran, kawalan kesihatan awam di lapangan dan berinteraksi secara langsung dengan orang awam.

“Antara yang tergolong dalam pengurusan dan profesional ialah pegawai perubatan, pergigian, farmasi, sains serta kesihatan persekitaran.

“Paramedik dan auksiliari pula terdiri daripada jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, penolong pegawai farmasi, juru sinar-x, juruteknologi makmal perubatan, pembantu perawatan kesihatan, pemandu dan pembantu kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan yang dimuat naik di laman web rasmi JKJAV susulan polemik ‘potong’ barisan bagi mendapatkan suntikan vaksin itu ditandatangani dua pengerusi bersama iaitu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Perincian mengenai kelompok barisan hadapan, kategori dua yang bakal diberikan keutamaan dalam penerimaan vaksin, mulai Februari hingga April ini pula menyaksikan ia terbahagi kepada 12 kumpulan.

Ia merangkumi sektor kesihatan, anggota keselamatan, perkhidmatan sosial, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kontraktor KKM, pengendali perkhidmatan hemodialisis, ahli Jemaah Menteri, ahli mesyuarat kerajaan negeri (EXCO), ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kerajaan yang terbabit dalam lawatan rasmi Jemaah Menteri ke luar negara.

Turut tersenarai dalam kategori dua ialah guru sekolah rendah dan menengah yang menghidap lebih daripada satu masalah kesihatan kronik atau pelbagai morbiditi.

“Sebarang pindaan kepada garis panduan ini tertakluk kepada keputusan dan ketetapan JKJAV,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.