Jangan menyinggung perasaan rakyat Johor

single-image

PARIT SULONG : YB Datuk Ir. Haji Hasni Mohammad, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor melahirkan rasa kecewanya terhadap Ahli Parlimen Labis ketika berucap di hadapan perwakilan sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong.

“Kita di Johor rasa amat terhina apabila Ahli Parlimen Labis bertanyakan soalan di dalam parlimen, adakah pendaftaran no plat TMJ dan RZ ini didaftarkan? Sekiranya tidak, adakah kereta bernombor plat ini dibenarkan untuk bergerak di jalanraya”

“Apa yang disentuh ini melibatkan kerabat DiRaja Johor. Malah kita telah bawa perkara ini sebagai usul tergempar di Dewan Undangan Negeri Johor dan telah ditolak untuk dibahaskan. Kita hendak tahu, apakah pendirian Kerajaan Negeri Johor tentang perkara ini” sambung beliau lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Johor, Kawasan Benut itu turut mengingatkan Ahli Palimen Labis agar jangan kemukakan soalan yang dangkal.

Turut disentuh dalam ucapan tersebut adalah perlantikan Ketua Kampung. “Kita mengambil ketetapan untuk menyatakan bahawa kita turut kecewa dengan Kerajaan sedia ada. Ketua Kampung ditukar kerana pegangan politik. Dan kini, Pengerusi masjid dan surau juga turut ditukar”.

Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, YB Dato’ Zulkurnain Hj Kamisan mengingatkan perwakilan Bahagian Parit Sulong agar jangan mengadu domba sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan ahli. “Perpecahan ini akan meruntuhkan UMNO. Kita kena kuat di Bahagian Parit Sulong supaya kita boleh membantu Barisan Nasional Johor untuk merampas kembali kerusi yang hilang pada Pakatan Harapan.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh YB Tan Sri Panglima Annuar Musa, Setiausaha Agung UMNO Malaysia. Dalam ucapannya, YB Tan Sri Annuar Musa menyentuh penyatuan UMNO dan Pas.

“UMNO dan PAS wajib pertahankan Agama Islam yang kini telah dirosakkan oleh pemimpin Pakatan Harapan. Ia dirosakkan ketika kita tidak punya kuasa”

“UMNO dan PAS tidak akan berkubur. Sebaliknya kita akan tampil dengan lebih kuat dalam menghadapi Pilihanraya akan datang” katanya mengakhiri ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong.

-JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.