Jangan malukan Bangsa Johor, MB perlu jelaskan isu ijazah palsu

single-image

Kisah ‘ijazah palsu’ nampaknya sudah seakan-akan menjadi ‘mainan’ dalam kalangan pemimpin-peminpin kerajaan Pakatan Harapan. Misalnya baru-baru ini, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya didakwa kantoi kerana memiliki ijazah palsu dari sebuah universiti di United Kingdom.

Namun tiada angin, tiada ribut tiba-tiba sahaja seorang lagi pemimpin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) iaitu Datuk Osman Sapian merangkap Menteri Besar Johor juga turut terpalit dengan isu memiliki ijazah palsu dari sebuah univerisiti tempatan.

Malah saya difahamkan semalam dalam sebuah majlis rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina, Osman Sapian ditanya wartawan tentang perkara ini. Namun, Osman Sapian hanya tersenyum dan lebih selesa berdiam diri. Situasi ini jelas menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan rakan media dan juga orang ramai berhubung dengan isu ini.

Jadi saya sebagai rakyat Johor menyeru dan mendesak Menteri Besar Johor, Osman Sapian untuk memberi penjelasan yang sewajarnya terhadap dakwaannya yang memiliki ijazah palsu. Malah jika Osman Sapian mempunyai bukti yang kukuh maka tunjukkan kepada semua bahawa perkara ini hanya sekadar fitnah semata-mata.

Melihat kepada respon yang diberikan oleh Osman Sapian jelas rakyat Johor khusus sudah mula meragui kelayakan akademik yang dimiliki oleh Osman Sapian. Adakah benar Osman Sapian memiliki Ijazah Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia?

Oleh itu sebagai Menteri Besar Johor, Osman Sapian perlu berani tampil ke hadapan untuk mengesahkan kelulusan akademik yang dimilikinya demi imej dan maruah negeri Johor. Jangan kerana perkara ini, imej negeri Johor tercalar dan hanya menjadi bahan ejekan oleh orang ramai.

Persoalannya bukankah sebelum ini, pemimpin-pemimpin kerajaan Pakatan Harapan sudah berjanji dengan rakyat untuk membawa sebuah pentadbiran yang telus dan berjuang atas prinsip integriti? Jadi adakah ini pentadbiran yang telus dan prinsip integriti yang dimaksudkannya?

Malah, bukan rakyat Johor sahaja yang menuntut penjelasan tetapi ketua BERSATU bahagian Pulai juga menggesa Osman Sapian supaya membela diri dan menjelaskan perkara yang sebenar. Ini kerana kesahihan kelulusan akademik Osman Sapian perlu dijelaskan agar tiada mana-mana pihak yang akan rasa tertipu termasuk barisan kepimpinan BERSATU negeri Johor sendiri.

Jika perkara ini benar, amatlah memalukan kerana rakyat Johor mempunyai Menteri Besar yang memiliki ijazah palsu. Apatah lagi, mempunyai Menteri Besar yang sanggup penipu tentang kelulusan akademik semata-mata ingin dipandang tinggi oleh orang ramai. Keadaan ini sekali gus memperlihatkan kredibiliti sebenar Osman Sapian sebagai pemimpin.

Saya berharap dalam masa yang terdekat ini, Menteri Besar Johor dapat memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada rakyat. Bukannya memilih untuk terus-terusan berdiam diri tanpa sepatah kata sekali pun. Ini kerana jika Osman Sapian terus berdiam diri rakyat akan menganggap perkara ini benar.

Jadi Osman Sapian perlu berani memberikan penjelasan sama ada dakwaan ini benar ataupun tidak. Jika tidak mempunyai ijazah maka katakan tidak. Malah jika Osman Sapian mempunyai segulung ijazah maka tunjukkan buktinya. Nak malu apa bossku?

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.