Jalan ditutup susulan kejadian tanah menggelongsor

single-image

Kluang: Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Taman Sri Impian, di sini, akan ditutup sehingga kerja pembersihan siap dilakukan sepenuhnya susulan kejadian tanah menggelongsor, 8.30 malam tadi.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kluang, Aidi Mohd Salleh berkata, runtuhan itu adalah sepanjang 100 meter dengan ketinggian lebih 200 meter manakala jalan terbabit pula sejauh 200 meter.

Beliau berkata, semua kenderaan dari Kluang menuju ke Kota Tinggi dilencongkan melalui Jalan 1 di Taman Sri Impian manakala pengguna dari Kota Tinggi boleh memasuki Jalan 2 atau 3 untuk meneruskan perjalanan.

“Kerja pembersihan sedang giat dilakukan dan dijangka memerlukan masa kira-kira seminggu kerana bimbang gelongsoran baharu mungkin berlaku jika hujan berterusan.

“Berikutan itu, orang ramai disarankan untuk mematuhi sebarang arahan daripada pihak bertugas di lapangan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Aidi berkata, selain jalan itu, pengguna boleh menggunakan Jalan Padang Tembak atau Jalan Mengkibol untuk Kota Tinggi serta kawasan penempatan berada di sepanjang laluan berkenaan.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.