Isu ulang alik pekerja Malaysia ke Singapura diatasi Julai

single-image

SIMPANG RENGGAM: Masalah perjalanan kira-kira 200,000 hingga 250,000 rakyat Malaysia yang berulang alik bekerja di Singapura dijangka diatasi usai Pilihan Raya Umum negara jiran itu, Julai ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Muhammad, berkata kerajaan negeri sedang berbincang dengan kerajaan pusat bagi mengatasi masalah itu kerana ia tidak hanya membabitkan mereka yang melakukan perjalanan ulang alik secara harian tetapi juga 25,000 rakyat Malaysia yang masih terkandas di sana.

“Perbincangan mengenai sedang berjalan dan perdana menteri sudah memberi jaminan sempadan kedua-dua negara akan dibuka segera,” katanya.

Hasni berkata demikian ketika hadir dalam lawatan kerja ke daerah Kluang dan Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Petugas barisan hadapan COVID 19 di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Datuk Ibrahim Majid dekat sini, hari ini.

Semalam, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata sempadan Malaysia-Singapura akan dibuka secara berperingkat, bergantung kepada isu keselamatan kesihatan di antara kedua-dua negara.

Ia termasuklah pembukaan sempadan bagi pekerja Malaysia yang berulang alik secara harian ke Singapura yang membabitkan jumlah antara 200,000 hingga 250,000 orang.

Dalam pada itu, Hasni berkata Kerajaan Negeri Johor kehilangan kira-kira 20 peratus kutipan hasil akibat penularan wabak COVID 19.

Katanya, keadaan ini berlaku apabila pemaju, syarikat pembekal bahan binaan serta sektor ekonomi yang sebelum ini membayar cukai dikecualikan berbuat demikian dalam usaha merancakkan semula ekonomi negeri.

“Keadaan ini bukan sesuatu yang mudah apatah lagi dengan kelembapan ekonomi Singapura kesan COVID-19 hingga menyebabkan kita berhadapan dengan tiga kali ganda kesannya berbanding negeri lain,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.