Isu Tukar MB Johor, Sultan Johor Ada Kuasa Mutlak Lantik MB Baru

single-image

1. Desas-desus kini bertiup kencang apabila ada sumber-sumber yang mengatakan bahawa YAB Dato’ Hj Osman Bin Hj Sapian, Menteri Besar Johor akan ditukar oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dalam masa terdekat.

2. Khabar angin ini dikuatkan lagi apabila dikatakan akan ada satu perjumpaan antara Tun Dr. Mahathir dan Menteri Besar Johor, hari ini, di Putrajaya.

3. YAB Dato’ Hj Osman Bin Hj Sapian adalah Menteri Besar yang dicalonkan oleh Parti Bersatu dan Pakatan Harapan yang agak kontroversi diperkatakan bukan sahaja di Johor, malah di seluruh Malaysia. Antaranya isu tiada sijil kelulusan yang sah, tidak ‘perform’ dalam menjalankan tugas sebagai Menteri Besar, kontroversi tiga isteri, kegagalan mengurus bencana di Sg. Kim Kim, Pasir Gudang dengan baik dan yang terbaru, gagal menjadi penghubung yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat apabila tidak mengetahui mengenai projek STS akan dibina di perairan Negeri Johor sekaligus menimbulkan kemurkaan DYMM Sultan Johor.

4. Ada segelintir pihak yang melemparkan tuduhan bahawa Menteri Besar Johor adalah “orang suruhan” dan “Pak Turut” kepada Istana. Tetapi fakta sebenarnya adalah berbeza.

5. Semasa selepas Pakatan Harapan menang di Johor pada 9 Mei 2018, dipercayai bahawa Tan Sri Muhyiddin telah menghantar nama Dato’ Osman Sapian sebagai calon Menteri Besar kepada Sultan Johor dan beberapa nama lain memandangkan Dato’ Osman Sapian adalah antara orang kuat Tan Sri Muhyiddin dan juga pemimpin No. 2 Parti Bersatu di Negeri Johor pada ketika itu.

6. Memandangkan Tan Sri Muhyiddin memegang jawatan Menteri Persekutuan, maka tiada siapa lagi yang lebih layak untuk mewakili Parti Bersatu untuk menjadi Menteri Besar di Johor pada ketika itu.

7. Dalam isu pertukaran Menteri Besar ini, adalah menjadi kebiasaan parti yang menang iaitu Pakatan Harapan akan menghantar satu nama atau beberapa nama untuk dipertimbangkan oleh DYMM Tuanku Sultan.

8. Mengikut Perkara 3 (1) Undang-undang Tubuh Johor, Sultan Johor mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pelantikan individu yang layak menjadi Menteri Besar di negeri Johor. Dalam isu pelantikan Menteri Besar ini, DYMM Sultan Johor tidak perlu bertindak atas nasihat mana-mana pihak.

9. Dalam erti kata lain, Perlembagaan memperuntukkan kuasa berada di tangan rakyat dalam proses demokrasi pilihanraya untuk memilih pemimpin mereka di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), namun DYMM Sultan Johor adalah raja yang memerintah dan baginda mempunyai kuasa melantik Menteri Besar berdasarkan undang-undang yang ditetapkan mengikut Perlembagaan.

10. Sebagai rakyat Johor, kita berharap agar apa-apa juga keputusan mengenai pertukaran Menteri Besar Johor ini akan memberikan kebaikan kepada Negeri Johor dan kita sama-sama mendoakan agar proses pertukaran kuasa ini (jika benar-benar ianya berlaku) akan berjalan lancar tanpa sebarang ganggu-gugat daripada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kepada Allah Berserah. Johor Tetap Jadi Johor.

SITI AISHAH BINTI MOHD RAIS
Pengamal Undang-undang
Ahli Dewan Muda Johor

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.