‘Istana jangan campur tangan’

single-image

DMJ Desak Menteri Besar Johor Dr. Sahruddin Jamal, Exco Belia Sheikh Omar Ali Jawab Tuduhan Tan Sri Muhyiddin Berkaitan Campur Tangan Istana Johor Dalam Isu Pindaan Had Umur Belia

11 Julai 2019

1. Hari ini, terpampang di dada akhbar Berita Harian dengan tajuk “Istana Jangan Campur Tangan” dengan disekalikan gambar 4 figura penting Negeri Johor iaitu DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato Hj Azmi Rohani, Menteri Besar Johor YAB Dato Dr Sahruddin Jamal dan Exco Belia & Sukan, YB Sheikh Umar Ali.

2. Tajuk “Istana Jangan Campur Tangan” ini adalah respon serta komen Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri yang menyatakan kononnya ada campur tangan Istana Johor dalam isu pindaan had umur belia di Negeri Johor

3. Hal ini adalah rentetan daripada perubahan kenyataan media sebanyak tiga (3) kali dalam tempoh dua (2) hari daripada Kerajaan Johor yang mengundang pelbagai spekulasi sama ada di Johor mahupun di peringkat pusat.

4. Tuduhan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan adanya campur tangan Istana Johor dalam isu pindaan had umur belia ini adalah sangat berat dan perlu dibuktikan dengan fakta, dan bukan hanya membuat tuduhan dan spekulasi liar semata-mata kerana ia secara tidak langsung memburukkan nama baik Istana Johor dan seperti berniat jahat.

5. DMJ percaya pertemuan antara TMJ tempoh hari bersama-sama Menteri Besar Johor dan Exco Belia adalah semata-mata untuk berbincang dan memberikan pendapat dan nasihat baginda mengenai isu had umur belia. Sebelum kehadiran TMJ di Kota Iskandar, telahpun berlaku kekecohan akibat daripada kenyataan bercanggah Menteri Besar Johor pada 8 Julai 2019 yang mengekalkan had umur belia pada usia 40 tahun sebelum Exco Belia YB Sheikh Umar membuat kenyataan bertentangan pada 9 Julai 2019 dengan menyatakan had umur belia adalah pada usia 30 tahun.

6. DMJ percaya Menteri Besar Johor dan Exco Belia sebagai kuasa eksekutif mempunyai kuasa mutlak kepada sebarang keputusan yang dibuat setelah mengambil kira nasihat dan pandangan semua pemegang taruh. Perkara ini terbukti pada kenyataan media terakhir YB Sheikh Umar pada malam 9 Julai 2019 yang menyatakan bahawa keputusan Kerajaan Negeri dibuat atas dasar perbincangan dan nasihat pihak-pihak yang berkepentingan dalam isu belia di Negeri Johor.

7. Oleh itu, DMJ desak agar Menteri Besar Johor dan Exco Belia Negeri Johor untuk menjawab pertuduhan yang dilemparkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ini kepada Istana Johor yang disifatkan berniat jahat dan Kerajaan Johor perlu tampil dengan klarifikasi yang lebih jelas mengenai status quo semasa isu pindaan had umur belia tersebut.

– Tamat –

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.