Iskandar Malaysia catat pelaburan RM16 bilion

single-image

ISKANDAR Malaysia merekodkan pelaburan kumulatif berjumlah RM16 bilion pada separuh pertama tahun 2020 sekaligus mengupayakan koridor ekonomi ini mencatat jumlah pelaburan kumulatif keseluruhan berjumlah RM332.11 bilion dari tahun 2006 sehingga Jun 2020.

Daripada pelaburan kumulatif keseluruhan berjumlah RM332.11 bilion itu, RM194.28 bilion atau 56 peratus adalah pelaburan kumulatif yang telah dilaksanakan di lapangan dari tahun 2006 sehingga Jun 2020.

Daripada pelaburan kumulatif keseluruhan berjumlah RM332.11 bilion (2006 – Jun 2020) itu, 60 peratus atau RM199.27 bilion datangnya dari pelaburan domestik, manakala pelaburan luar negara berada pada paras 40 peratus atau RM132.84 bilion dengan China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Belanda menjadi negara yang mendahului senarai negara pelabur.

Sejumlah RM111 bilion pelaburan adalah dalam sektor yang dipromosi meliputi sektor Pengeluaran (RM79.61 bilion), Logistik (RM11.06 bilion), Pelancongan (RM8.98 bilion), Kesihatan (RM4.11 bilion), Pendidikan (RM3.29 bilion), Kewangan (RM2.85 bilion) dan Kreatif (RM1.65 bilion).

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, dalam suasana mencabar berdepan penularan pandemik Covid-19, beliau percaya Iskandar Malaysia mampu menarik minat pelabur untuk melabur di koridor ekonomi berkenaan sekaligus mencapai sasaran pelaburan RM383 bilion menjelang 2025.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata, penularan Covid-19 memberi ruang dan masa untuk kerajaan menilai dan mengkaji semula strateginya dalam mencapai sasaran pelaburan pada ketika mendepani norma baharu dan perubahan yang perlu dihadapi.

“Saya percaya Malaysia telah melakukannya dengan baik dalam mengurus pandemik Covid-19 dan ia telah banyak membantu negara ini untuk kembali pulih dalam tempoh sepantas mungkin.

“Ia ditambah dengan pengumuman Tujuh Ikhtiar Makmur Johor bagi memperkukuh keyakinan pelabur di Johor,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Inisiatif itu termasuk Majlis Ekonomi Ibrahim Johor atau Ibrahim Johor Economic Council (IJEC), Pelan Induk Digital Johor, Pembangunan Segitiga Singapura-Johor-Kepulauan Riau (SIJO-Kepri), Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Perdagangan Johor (JETCO) di Singapura, Bank Makanan Johor dan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030.

Hasni berkata, Iskandar Malaysia memiliki kelebihan dan kekuatan menerusi perkongsian dengan ramai rakan niaga dan pemegang taruh, lokasi strategik dan sumber tenaga insan yang telah tersedia adalah antara faktor bagi menarik pelaburan ke Iskandar Malaysia sekaligus membantu di peringkat serantau dan negeri Johor mencapai sasaran ditetapkan.

Awal tahun ini, Agensi Perdagangan dan Pembangunan Amerika Syarikat (USTDA) mengumumkan penyediaan dana geran bantuan teknikal bagaimana Iskandar Malaysia dapat menguruskan proses tranformasi dalam perancangan dan pembangunan bandar menerusi analisis data termaju.

Secara spesifik, geran USTDA kepada IRDA bagi membangunkan Rancangan Pelaksanaan untuk Projek Pemantauan Bandar Iskandar Malaysia atau Iskandar Malaysia Urban Observatory (IMUO) telah menjadi keutamaan bagi pembangunan bandar raya pintar di Malaysia.

Pada awal tahun ini juga, Bandar Seri Alam telah membuat pelaburan bagi penjenamaan semula bandar berkenaan daripada Bandar Raya Berpengetahuan Kepada Bandar Raya Pintar Berpengetahuan selari dengan agenda Bandar Raya Pintar Iskandar Malaysia.

IRDA juga sedang dalam rangka kajian semula Rancangan Pembangunan Komprehensif II (CDPii) Iskandar Malaysia bagi memastikan pembangunan mampan untuk rakyat yang tinggal dan bekerja di koridor ekonomi ini.

Kajian semula itu adalah sejajar dengan Rancangan, Dasar dan Peruntukan Perbelanjaan Kerajaan di peringkat Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan, agenda dan piawaian antarabangsa.

Sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), projek utama yang memberi manfaat kepada rakyat sekaligus dijangka dapat merancakkan pelaburan Iskandar Malaysia akan diteruskan seperti Projek Landskap dan Pengindahan Sungai Segget, Persimpangan Bertingkat Kempas, Naik Taraf Jalan Akses ke Tanjung Piai dan Hub Belia Hutan Bandar @ Johor Bahru.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim, berkata IRDA terus menemui pelabur sejak sebelum PKP sehingga kini bagi memperkukuh jalinan hubungan yang sudah sedia terjalin.

“Kebanyakan pelabur dijangka mengkaji semula rancangan mereka. Ini kerana masa lebih panjang diperlukan untuk mereka mengatur rancangan pelaburan.

“Kami yakin Iskandar Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan menarik pasca-Covid-19 berdasarkan kedudukan strategiknya serta kelebihan dan kekuatan seperti tenaga insan berbakat yang tersedia,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.