i-Sinar : Wujudkan kategori baharu khas untuk mangsa banjir

single-image

Tempoh hari kita menyaksikan beberapa negeri di Malaysia telah dilanda banjir teruk antaranya di Johor, Pahang, Terengganu dan lain-lain. Hujan lebat hampir dua hari berturut-turut telah mengakibatkan banyak kawasan dinaiki air. Lebih menyedihkan lagi banjir kali ini turut menghayutkan rumah-rumah mangsa banjir.

Dalam pada itu, seperti kita tahu sekarang ini negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, tentunya bencana banjir yang tidak disangka-sangka ini memberi satu tamparan hebat kepada mangsa banjir. Kebanyakan mereka bukan sahaja hilang mata pencarian atau sumber pendapatan tetapi juga hanya sehelai sepinggang. Apatah lagi mereka yang kehilangan rumah kerana dihanyutkan air pasti merasa lagi terbeban

Malah mungkin antara mereka sebelum ini bergantung kepada hasil tanaman tetapi akibat banjir semua hasil tanaman rosak. Dan mungkin juga ada antara mereka yang mempunyai kedai atau perniagaan kecil-kecilan sebelum ini tetapi sekarang hanya terpaksa mengalami kerugian yang besar akibat banjir.

Melihat kepada situasi ini, ada baiknya jika permohonan i-Sinar diperluaskan kepada pencarum yang terjejas akibat banjir. Jika sebelum ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya membuka kemudahan i-Sinar ini kepada dua kategori pencarum sahaja.

Tetapi dengan keadaan sekarang yang betul-betul menghimpit mangsa banjir eloklah jika wujudkan satu kategori baharu khas buat mangsa-mangsa banjir yang terjejas teruk. Inisiatif ini sedikit sebanyak meringankan beban mangsa-mangsa banjir di beberapa negeri. Tambah lagi sesi persekolahan pun akan bermula tidak lama lagi pasti banyak keperluan yang diperlukan untuk anak-anak mereka nanti.

Selain itu, kerajaan Pusat juga perlu memainkan peranan penting sebagai dorongan yang tepat bagi mangsa-mangsa banjir untuk memulakan semula kehidupan baharu mereka. Kerajaan Pusat perlu menyediakan sumbangan bantuan khas kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir. Tentunya mereka juga memerlukan bantuan ini bagi membina semula rumah yang telah hanyut atau membeli keperluan yang diperlukan selepas ini.

Kesimpulannya, kerajaan Pusat dan pihak berkepentingan perlu berganding bahu untuk membantu mangsa-mangsa banjir agar dapat meringankan beban mereka. Malah diharapkan cadangan supaya permohonan i-Sinar diperluaskan kepada pencarum mangsa banjir juga diambil perhatian sepenuhnya dalam membantu kelangsungan hidup mangsa-mangsa banjir ini.

Mohd Iqmal

Aktivis Muda Johor

Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress.

Leave a Comment

Your email address will not be published.