Hubungan KL-Abu Dhabi akan terjejas kerana klip audio 1MDB, kata Tok Mat

single-image

PETALING JAYA : Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menjangkakan konflik akan timbul antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan 9 rakaman audio didakwa antara Najib Razak dan 7 individu lain berkaitan 1MDB serta SRC International.

Katanya, SPRM sebagai agensi kerajaan perlu menjalankan tugas secara profesional, penuh berwibawa dan mengikut undang-undang dengan menyerahkan semua rakaman itu kepada polis untuk disiasat.

Beliau menyifatkan tindakan agensi anti-rasuah itu mendedahkan 9 klip audio berkenaan sebagai tidak pernah berlaku dan tidak menepati standard profesionalisme yang dikehendaki.

“Pendedahan perbualan ketua negara dengan seorang pemimpin negara asing adalah kerahsiaan yang sangat penting. Ia tidak wajar didedahkan dengan sewenangnya tanpa melalui proses undang-undang.

“SPRM sewajarnya memahami kepentingan untuk Malaysia tidak berkonflik dengan mana-mana negara dalam usaha kita mencari kebenaran berkaitan skandal 1MDB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM hari ini mendedahkan 9 rakaman audio dikatakan antara Najib dan isterinya Rosmah Mansor, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad dan Putera Mahkota UAE, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.

SPRM berkata, individu lain yang terbabit dalam perbualan itu ialah bekas peguam negara, Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali, Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Rahim, Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman, bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin, bekas ketua pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dan seorang individu bernama “Tan Sri Shukri”.

Selain putera mahkota UAE, warga asing lain yang terbabit ialah Presiden UAE, Khalifa bin Zayed Al Nahyan, Pengerusi IPIC, Sheikh Mansour bin Zayed al Nahyan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Development Company dari Abu Dhabi, Khaldoon Al-Mubarak.

Anak tiri Najib, Riza Aziz dan bekas pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin serta bekas naib ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun turut dinamakan SPRM.

SPRM berkata, klip audio itu ialah rakaman panggilan telefon antara Najib, pegawai kerajaan dan 2 individu dari UAE antara 5 Jan hingga 29 Julai 2016 yang menunjukkan seolah-olah wujud konspirasi untuk memanipulasi maklumat.

Katanya, SPRM akan menyerahkan rakaman itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat menggesa polis menyiasat rakaman audio yang didedahkan SPRM hari ini untuk menegakkan hak, kepentingan dan keadilan.

“Pendedahan yang dilakukan hari ini seperti menyabitkan nama-nama mereka yang terlibat sebagai bersalah dan menimbulkan prejudis sangat mendalam terhadap mereka.

“Apa yang dilakukan hari ini telah menyebabkan profesionalisme, wibawa dan integriti SPRM dipersoalkan.”

Sumber : Freemalaysiatoday.com

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.