Hentikan momokan Melayu malas, tidak pandai.

single-image

ALOR SETAR : Momokan bahawa Melayu adalah kaum yang tidak pandai perlu dihentikan segera kerana kata-kata itu sengaja direka bagi melemahkan orang Melayu sejak sebelum Malaysia merdeka.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Syed Azizan Syed Mohamed Al Idrus berkata, hari ini pelbagai bukti tentang kehebatan kaum Melayu telah dijumpai secara langsung dan tidak langsung menerusi kajian yang dilakukan oleh sarjana-sarjana tempatan.

Menurutnya, data-data arkeologi yang diperoleh dari Sungai Batu di Merbok menunjukkan bahawa Melayu Kedah telah menghasilkan besi yang bermutu tinggi dan dieksport ke seluruh dunia sejak tahun 788 sebelum Masihi.

“Kira-kira 2,800 tahun lalu Melayu Kedah melalui Kerajaan Kedah tua sudah ada dan masyarakat ini terbukti bijak kerana mempunyai teknologi yang tinggi dalam menghasilkan besi malah mereka juga adalah pedagang yang terkemuka kerana hasil-hasil besi telah dieksport ke peringkat antarabangsa.

“Penemuan ini juga adalah bukti bahawa Melayu Kedah adalah masyarakat yang bertamadun yang telah ada sebelum Masihi lagi. Pemikiran bahawa kaum Melayu itu tidak pandai sengaja direka oleh penjajah dan ianya terbawa-bawa sehingga hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Azizan turut menegaskan bahawa orang Melayu perlu bangkit menyuarakan hak dan perlu berani mempertahankan sebarang keistimewaan golongan itu seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Menurutnya, sempena kemerdekaan negara yang kini telah memasuki usia 62 tahun, sudah sampai masanya minda orang Melayu berubah dengan memahami secara jelas apa keistimewaan mereka sebagai penduduk asal.

“Saya melihat orang Melayu ini terlalu baik sehingga hak-hak dan keistimewaan mereka yang jelas tercatat dalam perlembagaan selalu dipersoalkan kebelakangan ini seperti yang dapat dilihat di laman sosial.

“Orang Melayu itu sendiri perlu berani bersuara tentang hak. Jangan takut dan mereka yang mempersoalkan perkara ini (hak orang Melayu) mesti diambil tindakan tegas. Tidak cukup hanya permohonan maaf,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.