Hassan Karim dedah PH Johor kian berpecah dan buat haluan masing-masing

single-image

Beberapa hari yang lepas, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim ada meluahkan rasa kecewanya terhadap parti gabungan Pakatan Harapan di Johor menerusi laman rasmi Facebook miliknya. Parti gabungan yang dimaksudkan itu semestinya terdiri daripada parti PKR, DAP, PPBM dan Amanah.

Menurut Hassan Karim, sebelum ini kerjasama yang erat antara keempat-empat parti telah membawa kepada kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU ke 14 yang lalu di Johor.

Namun, Hassan Karim terkilan selepas sahaja Pakatan Harapan berjaya memerintah di negeri Johor, kerjasama yang dijalinkan sebelum ini sudah tiada lagi. Malah Hassan Karim mengakui sendiri bahawa keempat-empat parti komponen tersebut kini membawa haluan sendiri sejak masing-masing mempunyai kuasa.

Melihat kepada apa yang terjadi dalam Pakatan Harapan Johor nampaknya sudah jelas bahawa parti-parti komponen dalam tersebut sedikit demi sedikit sudah menunjukkan ‘belang’ masing-masing. Satu parti berkiblatkan kuasa dan satu lagi berkiblatkan sebaliknya pula.

Jadi tidak hairanlah jika suatu hari nanti Pakatan Harapan di Johor ini antara ‘kapal’ yang karam terlebih dahulu. Lihatlah tidak sampai dua tahun memerintah masing-masing sudah lupa diri. Belum lagi cerita tentang masalah rakyat, janji yang tidak tertunai dan macam-macam lagi.

Misalnya isu pencemaran di Pasir Gudang sehingga ke hari ini masih tiada solusi yang berkesan bagi mengekang permasalahan tersebut. Kerana apa? Semuanya kerana gabungan parti yang membentuk kerajaan yang tidak sehaluan sehingga tidak berjaya mencapai kata sepakat.

Dek kerana inilah setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat terutamanya rakyat di Johor tidak dapat diselesaikan. Di tambah lagi dengan wakil-wakil rakyat yang tidak habis-habis berpolitik tidak kira tempat dan masa ia sekali gus menyukarkan lagi perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian.

Secara tidak langsung sebenarnya Pakatan Harapan Johor sudah memberi mesej yang jelas kepada rakyat bahawa keinginan mereka untuk menang dalam pilihan raya yang lalu bukanlah untuk membela rakyat tetapi sebenarnya lebih kepada memiliki kuasa.

Jika mereka benar-benar ingin membela kepentingan rakyat, cerita-cerita seperti ini tidak akan keluar sendiri daripada mulut ahli yang terdiri daripada parti komponen Pakatan Harapan Johor. Akhirnya, apa yang boleh dikatakan jika perkara ini masih berterusan pastinya ia akan memberi impak yang buruk kepada negeri dan rakyat Johor sendiri.

Sekian,

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.