Guan Eng terbukti terlalu optimistik – Mohamad Hasan

single-image

KUALA LUMPUR : Peningkatan ekonomi hanya 3.6 peratus pada suku keempat 2019 iaitu kadar paling lemah sejak 10 tahun lalu membuktikan sekali lagi bahawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak dapat meramalkan pertumbuhan ekonomi secara realistik dan objektif.

“Malah, Menteri Kewangan terbukti terlalu optimistik,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di laman Facebook.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu, pengumuman Bank Negara Malaysia itu juga bermakna pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun penuh 2019 sebanyak 4.3 peratus.

Prestasi  tersebut, katanya, jauh lebih rendah daripada ramalan Menteri Kewangan Pakatan Harapan  sebanyak 4.9 peratus (dalam Ucapan Belanjawan 2019) dan juga tersasar dari ramalan dalam Ucapan Belanjawan 2020, iaitu 4.7 peratus.

Mohamad berkata, perkembangan terbaharu itu tentunya menyebabkan Belanjawan Negara 2019 tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana hasil kerajaan jelas tidak dapat menepati sasaran.

Maka, katanya, rakyat tidak dapat menikmati janji-janji yang ditabur dalam Belanjawan secara sepenuhnya.

Beliau turut menarik perhatian mengenai penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang sepatutnya ‘merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan’ tetapi ternyata tidak dapat menyelamatkan prestasi ekonomi negara yang semakin merudum.

Katanya, unjuran ekonomi negara akan berkembang dengan lebih pesat pada tahun 2020 iaitu sebanyak 4.8 peratus seperti mana yang disebut oleh Guan Eng juga menimbulkan persoalan.

“Namun, adakah unjuran ini dapat dipercayai memandangkan unjuran tahun 2019 salah untuk dua tahun berturut-turut?” soalnya.

Lebih membimbangkan, kata Mohamad, ekonomi negara kini diimpak besar oleh penyebaran wabak koronavirus sehingga menimbulkan persoalan adakah Kerajaan PH masih terlalu optimistik sehingga tidak bersedia untuk menangani isu aliran tunai operasi perniagaan?

Beliau juga menyentuh mengenai laporan BNM, pertumbuhan KDNK terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi termasuk kejatuhan pengeluaran kelapa sawit, minyak mentah dan gas asli.

“Bagaimanakah Kerajaan PH akan merangsang pertumbuhan sektor komoditi terutamanya sektor kelapa sawit dan getah?

“Adakah rakyat luar bandar yang kebanyakkannya bergantung kepada sektor komoditi ini akan terus ditindas, memandangkan kos hidup semakin meningkat?” soalnya lagi.

Awal hari ini Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Yunus berkata, prestasi ekonomi yang lemah disebabkan gangguan bekalan dalam sektor komoditi pada suku keempat 2019.

Pengeluaran minyak sawit menguncup 16.9 peratus manakala  gas asli susut 2.1 peratus semasa suku dalam kajian.

Pengeluaran minyak mentah pada suku keempat 2019 menunjukkan prestasi yang lebih baik apabila jatuh 5 peratus berbanding penguncupan 12.8 peratus pada suku sebelumnya.

Sumber : MalaysiaGazette

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.