Guan Eng, henti sebar ketakutan, kebencian kepada Pas

single-image

KUALA LUMPUR : Pemuda PAS memberikan amaran kepada Lim Guan Eng dan DAP supaya berhenti daripada menyebarkan ketakutan dan kebencian kepada masyarakat bukan Islam terhadap parti itu.

Ketua Dewan Pemudanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, menyemai kebencian tidak akan menyebabkan politik Malaysia menjadi lebih baik, selain menimbulkan prasangka yang boleh merosakkan keharmonian kaum.

Beliau merujuk kenyataan Setiausaha Agung DAP itu baru-baru ini apabila mengatakan kerajaan yang dipimpin PAS dan UMNO adalah berbahaya kepada keharmonian kaum di Malaysia, bakal mengenepikan dan menindas masyarakat bukan Islam, serta menyebabkan Malaysia akan kembali ke ‘Dark-Age’ seperti Kelantan.

“Kenyataan ini secara jelas adalah berniat jahat, menyemai ketakutan dan kebencian serta bersifat persepsi tanpa asas yang kukuh.

“Dan ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan berbaur kebencian sebegini. Sebelum ini juga kenyataan sama kerap kali dicanangkan pada tahun lepas,” katanya menerusi kenyataan.

Khairil Nizam menegaskan, kenyataan yang dibuat oleh Guang Eng itu adalah palsu dan berniat jahat kerana Pas sentiasa menyantuni dan meraikan masyarakat bukan Islam serta membina hubungan baik dengan mereka.

Katanya, Pas melalui kerajaan Kelantan dan Terengganu tidak pernah mengabaikan hak masyarakat bukan Islam malah, memastikan hak mereka dilindungi serta mereka bebas mengamalkan ajaran agama tanpa dipaksa mengikut atau menukarkannya.

“Pas juga tidak pernah menidakkan secara keseluruhan hak orang bukan-Islam untuk memegang jawatan sebagai menteri Kabinet seperti yang digembar-gemburkan oleh Guan Eng.

“Ini jelas merupakan suatu fitnah jahat terhadap Pas,” tegasnya.

Dalam pada itu, Khairil Nizam menasihatkan agar Guan Eng yang juga Menteri Kewangan memberikan fokus dalam mengatasi kenaikan hutang negara dan membaikpulih ekonomi Malaysia yang semakin merudum kerana ketidakstabilan politik dalam kerajaan sendiri.

Pemuda Pas turut menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menolak budaya politik kebencian dan permusuhan yang disemai oleh Guan Eng dan DAP.

“Satu-satunya cara untuk mengajar Lim Guan Eng dan DAP bahawa politik kebencian yang menjadi budaya mereka itu salah, adalah dengan menolak DAP dari terus berada dalam arena politik Malaysia.

“Selagi Lim Guan Eng dan DAP masih di dalam kerajaan, politik Malaysia akan terus berada di takuk lama, dan kita tidak mampu mencapai perpaduan.

“Pas akan terus berjuang ke arah Malaysia yang lebih sejahtera, dan pastinya tanpa DAP yang merosakkan kehidupan dan keharmonian rakyat Malaysia,” tambah beliau.

Sumber : MalaysiaGazette

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.