Gojek bakal tambah derita pemandu teksi di Malaysia.

single-image

Baru-baru ini Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq telah menyuarakan cadangannya untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau juga dikenali sebagai Gojek di negara jiran.

Kesungguhan Syed Saddiq jelas kelihatan apabila sebelumnya beliau telah mengaturkan satu pertemuan antara pengasas Gojek daripada Indonesia dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir baru-baru ini.

Tidak cukup dengan itu, Syed Saddiq juga telah menggunakan medium Twitter miliknya untuk mendapatkan sokongan anak muda. Jelas Syed Saddiq mahukan suara anak muda di negara ini menyambut baik dan bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan untuk memperkenalkan perkhidmatan Gojek di negara ini.

Ternyata usahanya ‘mencaras’ kerja Menteri Pengangkutan tidak sia-sia apabila cadangan ini telah disambut baik oleh Jemaah Menteri dalam Kabinet.

Namun, tanpa kita sedar sedang Syed Saddiq bergembira dengan cadangannya diterima baik oleh Jemaah Menteri sebenarnya keputusan tersebut telah menambahkan lagi derita pemandu-pemandu teksi di Malaysia.

Kalau dahulu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 semasa berkempen di Langkawi, Tun Mahathir telah berjanji untuk menghapuskan e-hailing Grab. Tetapi selepas selesa menjadi kerajaan pada hari ini, nampaknya janji berkenaan hanya mampu meniti dibibir tetapi langsung tidak ada tindakan ke arah itu.

Yang ada kini e-hailing Grab semakin kukuh bertapak di negara ini dan pemandu teksi pula semakin ditindas. Siapa tidak kecewa sebelum pilihan raya bukan main lagi menabur janji kepada pemandu teksi. Tetapi apa yang mereka dapat? Hanya harapan palsu dari kerajaan Pakatan Harapan.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan Pakatan Harapan menambah lagi derita dan tekanan kepada pemandu teksi apabila Syed Saddiq memperkenalkan perkhidmatan Gojek di Malaysia. Tentunya kehadiran Gojek selepas ini akan ‘membunuh’ setiap pemandu teksi untuk mencari mata pencarian mereka demi menyara hidup seharian.

Tidak dinafikan cadangan Syed Saddiq untuk memperkenalkan perkhidmatan Gojek ini baik untuk memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda yang mempunyai motorsikal.

Tetapi jika cadangan ini merupakan salah satu cara untuk Syed Saddiq menunaikan janji untuk mewujudkan 1 juta pekerjaan ianya tidak masuk akal dan tidak boleh diterima sama sekali. Jangan disebabkan terdesak Syed Saddiq mengambil jalan singkat seperti ini.

Yang menjadi persoalannya, adakah tindakan Syed Saddiq ini relevan apabila memperkenalkan perkhidmatan Gojek untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda tetapi dalam masa yang sama turut menghancurkan pekerjaan pemandu teksi di negara ini?

Sebenarnya banyak lagi cara lain yang boleh Syed Saddiq kemukakan untuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda negara ini. Salah satunya adalah kerajaan perlu lebih serius mengangkat dan memartabatkan Pendidikan TVET. Menerusi bidang kemahiran banyak peluang pekerjaan yang boleh golongan muda ceburi.

Jangan kerana dek janji untuk mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan kepada golongan muda, nyawa golongan muda pula jadi pertaruhan. Keselamatan golongan muda juga dipandang serius jika kerajaan tetap berdegil untuk memperkenalkan perkhidmatan Gojek di negara ini.

Sekian,

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.