Gabungan Aktivis Reformis 98 mahu Anwar pecar Azmin

single-image


Rasanya, saatnya sudah tiba untuk Presiden Parti keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) memecat Dato’ Seri Azmin Bin Ali (DSAA) sebagai ahli PKR dan Timbalan Presiden PKR. Sebagai Presiden, DSAI mempunyai kuasa ketua eksekutif parti dalam memecat mana-mana ahli dan kepimpinan PKR yang mencemar dan merosakkan imej parti di mata masyarakat. Disenaraikan langkah politik DSAA yang membolehkan beliau dipecat dari parti dan jawatan menteri yang beliau pegang.


PERTAMA, ketika ini, ahli PKR di peringkat akar umbi merasa gelisah dan keliru dengan tingkah laku Timbalan Presiden DSAA yang dilihat membelakangi parti dan Presiden dalam tingkah laku politik beliau dengan parti di dalam Pakatan Harapan (PH) dan pakatan pembangkang. Kefahaman politik beliau dilihat tidak konsisten dan selari dengan kefahaman dasar politik yang pegang oleh barisan kepimpinan parti dalam komponen PH.

Terbaru, kenyataan media beliau yang mengunakan kepala surat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi serta mengeluarkan kenyataan menyokong pendirian politik oleh pemimpin pembangkang PAS adalah tidak boleh dimaafkan dan menguris pelbagai peringkat pemimpin dari kalangan ahli dalam komponen PH. Gabungan Reformis 98 turut menerima pelbagai komen negatif dan desakan dari kepimpinan utama PH dan ahli diperingkat akar umbi untuk PKR mengambil tindakan disiplin ke atas beliau.


KEDUA, sebagai ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, beliau dilihat gagal melaksanakan amanah yang dimandatkan kepada beliau atas kapasiti Timbalan Presiden PKR. Secara konsisten beliau gagal menghadirkan diri secara tiga kali berturut-turut tanpa alasan munasabah di dalam mesyuarat MPP yang diadakan setiap bulan oleh parti.

Tetapi pada masa yang sama tidak pernah menguzurkan diri beliau dalam mesyuarat yang diadakan oleh majlis Presiden PH. Tindakan beliau untuk tidak hadir ke mesyuarat MPP tiga kali berturut-turut adalah satu manifestasi bahawa beliau lagi tidak menghormati ketua parti iaitu DSAI sebagai Presiden parti dan pada masa yang sama menunjukkan sikap beliau yang sudah tidak mempunyai minat dan semangat untuk terus mengemudi parti bersama dengan presiden PKR.


KETIGA, kenyataan DSAA telah dengan sengaja membelakangi keputusan bersama yang dibuat oleh keempat-empat pimpinan utama parti di dalam PH sebelum PRU ke-14 iaitu memberi peluang kepada Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun awal dan seterusnya memberi peluang kepada DSAI melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri ke-8.

Kenyataan beliau itu tidak begitu mengejutkan pada pandangan pemerhati politik kerana beliau sememangnya bukan antara ahli yang berada di dalam konsensus kesepakatan PH yang dimaterai sebelum berlangsungnya PRU14. Malah, perlantikan beliau sebagai menteri dikhabarkan bukan dari senarai yang dikeluarkan oleh kepimpinan parti. Maka, tingkah laku politik beliau selari dengan persepsi masyarakat bahawa beliau adalah seorang menteri yang naik mengikut jalan belakang.


KEEMPAT, DSAA dilihat memberi imej yang negatif kepada parti kerana kes seks luar tabie beliau bersama saudara Haziq Abdullah bin Abdul Aziz. Gabungan Reformis 98 selari dengan kenyataan Presiden PKR, DSAI dan sepakat dalam mempertahankan maruah DSAA bahawa beliau tidak terlibat dalam video seks itu sehinggalah Mahkamah menyatakan sebaliknya.

Namun, tindakan DSAA untuk tidak membuat laporan polis serta tidak menyaman saudara Haziq serta tidak mengheret saudara Haziq ke mahkamah adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan Gabungan Raformis 98. Jika beliau tidak bersalah, beliau sepatutnya tampil ke hadapan dan membersihkan diri beliau. Jangan biarkan fitnah ke atas beliau tidak ditangani takut ia akan menjadi sesuatu fakta kekal diminda rakyat untuk selamanya.


JUSTERU, Gabungan Reformis 98 berpendapat bahawa ketika ini biro politik PKR hanya mempunyai tiga pilihan iaitu pertama, menghantar surat tunjuk sebab kenapa beliau (DSAA) tidak boleh dipecat dari PKR dan kenapa tiada tindakan oleh DSAA untuk membuat laporan polis dan menyaman saudara Haziq bagi membersihkan imej beliau dan pada masa yang sama imej parti.

Kedua, mendesak DSAA membuat laporan polis serta menyaman saudara Haziq dan pada masa yang sama meletak jawatan di dalam kerajaan agar satu siasatan yang telus dapat dijalankan tanpa campurtangan pihak berkuasa. Ketiga, memecat DSAA sebagai ahli dan Timbalan Presiden kerana mencemarkan imej PKR sebagai sebuah parti yang membawa agenda perubahan dan kepimpinan bermaruah dan tingkah laku peribadi dan politik beliau yang membelakangi presiden serta mencemarkan parti dan mengugat kesatuan di dalam PH tidak boleh dimaafkan. Individu yang bersifat talam dua muka sepatutnya tidak berada di dalam kepimpinan utama PKR atau mana-mana parti dalam komponen PH.


AKHIR SEKALI, bahawasanya saya dengan rendah hati mewakili beberapa rakan dan individu dari Gabungan Reformis 98 mendesak agar Presiden PKR iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memecat DSAA sebagai ahli dan Timbalan presiden PKR berkuatkuasa serta merta agar imej dan maruah parti dapat dibersihkan dan dipertahankan jika ketiga-tiga desakan dan cadangan di atas tidak dilaksanakan oleh DSAA.


Kapt. Zulkefly Othman (bersara)
Wakil Gabungan Reformis 98
30 July 2019

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.