Fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 peringkat Johor, bermula hari ini

single-image

Johor Bahru : Seramai 35,100 barisan hadapan di Johor akan menerima vaksin Covid-19 pada Fasa Pertama Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Johor, yang bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, ia berbanding jumlah barisan harapan di Johor sebanyak 41, 034 orang.

Katanya, baki 5,934 orang lagi barisan hadapan Johor akan menerima vaksin mereka pada Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19.

“Jumlah dos vaksin Covid-19 yang sedia ada diterima Johor pada fasa pertama adalah sebanyak 70,200 dos.

“Bilangan barisan hadapan yang akan diberi suntikan vaksin pada Fasa Pertama ini adalah sebanyak 35,100 orang berdasarkan dua dos setiap orang.

“Namun, jumlah barisan hadapan di Johor adalah sebanyak 41,034 orang dan terdapat kekurangan sebanyak 5,934 orang.

Bagaimanapun, baki barisan hadapan ini akan menerima vaksin pada Fasa Kedua nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri Johor, di Dewan Muafakat Taman Adda, di sini, hari ini.

Pada program itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut menjadi penerima vaksin Covid-19 pertama di negeri ini.

Beliau menerima suntikan berkenaan pada 8.45 pagi dari Ketua Jururawat Unit Kualiti dan Latihan, Pejabat Kesihatan Johor Bahru, Badariah Mohd Khalid, 49, dibantu Jururawat Klinik Kesihatan Kempas, Norazrina Johari, 27.

Pada majlis itu juga, Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay,turut menerima suntikan vaksin diikuti Exco Kerajaan Johor dan pegawai tertinggi kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19Johor, akan menyusul bulan depan, iaitu membabitkan warga emas, individu yang mempunyai comorbid seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya selain golongan orang kurang upaya (OKU).

“Fasa Ketiga pula akan membabitkan masyarakat yang berumur 18 tahun dan ke atas.

“Kerajaan Johor menyasarkan lebih 80 peratus rakyat Johor akan mendapat imunisasi Covid-19,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.