Exco agama tidak tamat sekolah agama dan tiada sijil darjah khas?

single-image

Seperti kita sedia maklum selepas rombakan Exco negeri Johor yang dilakukan tempoh hari oleh Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin menyaksikan tiga muka baharu. Salah seorang daripadanya ialah ADUN Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Tosrin Jarvanthi telah dilantik sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar.

Apa yang mengejutkan pada hari mengangkat sumpah tempoh hari tanpa mendapat desakan mana-mana pihak, Tosrin Jarvanthi telah membuat pengakuan secara terbuka bahawa dirinya hanya bersekolah setakat darjah enam sahaja.

Namun daripada info yang baharu diterima kini Tosrin Jarvanthi dikatakan bukan sahaja hanya bersekolah setakat darjah enam tetapi juga tidak mempunyai sijil darjah khas dan turut tidak tamat sekolah agama. Jadi adakah dakwaan ini bernar? 

Jika benar ia sepatutnya tidak berlaku di Johor. Ini kerana kita bercerita soal agama Islam yakni satu hal yang serius dan semestinya perkara yang tidak boleh dibuat main-main. Agama Islam di Johor sangat dijaga dan dititik beratkan oleh kerajaan negeri Johor yang diketuai oleh DYMM Sultan Johor dari zaman berzaman. 

Jadi bagaimana seorang Exco yang dilantik memegang jawatan sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam tidak mempunyai sebarang lulusan atau sijil kelayakan terutamanya dalam bidang pendidikan Islam?

Sedangkan rakyat di Johor ini memang diajar untuk menitik beratkan pendidikan agama Islam sejak kecil lagi. Malah di Johor juga pendidikan agama diwajibkan kepada kanak-kanak Islam berusia antara 6 hingga 12 tahun dan sekolah agamanya dipantau jabatan pendidikan negeri dengan ketat. 

Malah syarat utama untuk menjadi Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) juga memerlukan sijil lulusan darjah khas. Jadi tidak dapat disangkalkan lagi bahawa pendidikan agama islam di Johor menjadi tunjang utama di negeri ini. 

Tidakkah pelik jika Exco Hal Ehwal Agama Islam yang sepatutnya menjadi contoh kepada rakyatnya tetapi tidak mempunyai apa-apa pencapaian dalam bidang tersebut? Walhal pencapaian tersebut penting sebagai nadi untuk menggerakkan jabatan Hal Ehwal Agama Islam di negeri Johor sendiri.

Persoalannya kini, adakah Tosrin Jarvanthi benar-benar layak untuk memegang jawatan sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam di negeri Johor ini?

Sekian,

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.