Enam lagi kluster baru dikesan termasuk di Johor

single-image

Sebanyak enam lagi kluster baharu COVID-19 dikesan di negara ini, melibatkan dua di ibu negara manakala Sabah, Selangor, Johor dan Putrajaya masing-masing satu kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kluster baharu di Kuala Lumpur ialah Kluster Baiduri dan Kluster Bah Perdana manakala Kluster Kolong di Sabah dan Kluster Bah Tropicana di Selangor.

Kluster Rinting dikesan di Johor manakala Kluster Bah Kasturi di Putrajaya, katanya pada sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Mengenai Kluster Baiduri, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan daerah Hulu Langat dan Cheras dengan kes indeks kluster itu (kes ke-14312) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan prapembedahan pada 7 Okt lepas dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengesan 17 lagi kes positif, (dan) sehingga 12 Okt, sejumlah 39 individu disaring dan sembilan individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Bagi Kluster Bah Perdana di Cheras, Dr Noor Hisham berkata kes indeks kluster itu (kes ke-11305) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan setelah pulang dari Sabah pada 28 Sept dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Saringan kontak rapat yang dijalankan telah mengenal pasti lapan lagi kes positif COVID-19 manakala 13 individu masih menunggu keputusan, katanya.

Mengenai Kluster Kolong di daerah Keningau, Sabah, Dr Noor Hisham berkata kes indeks kluster itu (kes ke-13548) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan dalam komuniti pada 7 Okt dan dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

“Saringan kontak rapat mengenal pasti tujuh lagi kes positif COVID-19 dan sehingga hari ini tiga individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, bagi Kluster Bah Tropicana di Petaling, Selangor, Dr Noor Hisham berkata kes indeks kluster itu (kes ke-11804) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan pulang dari Sabah pada 2 Okt dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Katanya saringan kontak rapat bagi kluster itu telah mengesan 13 lagi kes positif COVID-19 dan 28 individu masih menunggu keputusan.

Memperincikan mengenai Kluster Rinting di daerah Melaka Tengah dan Johor Bahru, Dr Noor Hisham berkata kes indeks bagi kluster itu (kes ke-14350) didapati positif COVID-19 hasil saringan masuk kerja pada 7 Okt dan dimasukkan ke Hospital Melaka.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti tujuh lagi kes positif COVID-19 dan seramai 57 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Bah Kasturi pula melibatkan beberapa daerah dan negeri iaitu di Seremban, Negeri Sembilan; Cheras dan Putrajaya; serta daerah Klang, Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Langat di Selangor.

“Kes indeks kluster ini (kes ke-12553) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan pulang dari Sabah pada 24 Sept dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan.

“Saringan kontak rapat telah mengesan 17 lagi kes positif COVID-19 dan sehingga kini 10 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Sumber – Bernama

Leave a Comment

Your email address will not be published.