Elak jumpa warga emas

single-image

Johor Bahru : Orang ramai digalakkan mengelak daripada bertemu dengan warga emas seperti datuk dan nenek buat sementara waktu, bagi menjauhkan jangkitan wabak Covid-19 terhadap mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, ia adalah sebagai langkah berjaga-jaga berikutan warga emas adalah golongan berisiko tinggi.

Katanya, jika terdesak untuk berjumpa, pastikan sentiasa menjaga penjarakan fizikal, sentiasa memakai pelitup muka serta elakkan bersalaman, berpelukan atau bersentuhan apabila bertemu.

“Kebelakangan ini didapati terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini berlaku dalam kalangan warga emas. Warga emas lebih lemah daya tahan terhadap sesuatu penyakit, justeru apabila dijangkiti wabak Covid-19, peluang mereka untuk pulih adalah tipis.

“Jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga emas juga boleh menyebabkan komplikasi yang teruk dan boleh membawa maut.

“Adalah lebih baik menjaga jarak fizikal sejauh lebih satu meter apabila bertemu dengan mereka kerana mungkin tanpa disedari, kita membawa virus Covid-19 tanpa mengalami sebarang gejala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, sekiranya anda sering berulang alik ke kawasan zon merah, adalah amat digalakkan untuk anda menjalani ujian makmal bagi mengesan Covid-19 di mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta.

“Ia bertujuan bagi mengurangkan risiko penularan wabak di kalangan keluarga dan kenalan. Selain itu, di masa situasi Covid-19 masih lagi membimbangkan, masyarakat dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti sosial termasuk berkumpul beramai-ramai terutama yang tidak mematuhi prosedur standard operasi (SOP),” katanya.

Dalam perkembangan lain,Vidyananthan berkata, terdapat 100 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Johor, semalam.

Katanya, sebanyak 38 kes adalah daripada kluster sedia ada termasuk satu kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bandar Impian.

“Kluster Bandar Impian membabitkan 22 kes daripada saringan kontak rapat dan 40 kes daripada lain-lain saringan wabak berkenaan. Ia membabitkan daerah Kluang di Johor, daerah Pasir Putih di Kelantan dan daerah Kuala Kangsar di Perak,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.