DUN Panti terus mendekati rakyat dan merai semangat kesukarelawanan anak muda

single-image

Program Panti Future Home melalui Sentuhan Kasih Anak Muda Kota Tinggi : Skuad Reno @ Muafakat Tenggara telah berlangsung pada 17 dan 18 Julai 2020 di Kampung Temenin, Kota Tinggi. Anjuran bersama ADUN Panti, Majlis Belia Daerah Kota Tinggi dan Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ) UKM ini juga mendapat sokongan Pejabat Ahli Parlimen Tenggara.

Antara pengisian hari pertama ialah aktiviti gotong-royong keceriaan, penanaman pokok dan lukisan mural telah berlangsung di Sekolah Agama Bukit Lintang. Selain itu, aktiviti sembang santai belia setempat bersama peserta turut dijalankan.

Pada hari seterusnya, YB Tuan Hahasrin Bin Hashim selaku ADUN Panti bersama-sama sukarelawan melakukan aktiviti baik pulih sebuah rumah yang rosak akibat bencana di Kampung Temenin Baru dan aktiviti pembersihan sebuah rumah di Kampung Temenin Lama. Di samping itu, turut diadakan aktiviti pembersihan Surau Kampung Temenin Baru.

Tidak melepaskan peluang, beliau turut bertemu dan beramah mesra dengan penerima manfaat dan penduduk kampung. Beliau meluahkan rasa bangga dan bersyukur kerana masalah dan keperluan masyarakat setempat dapat dibantu melalui program ini.


Dalam majlis perasmian penutupan program pula, ADUN Panti berpandangan bahawa peranan golongan mahasiswa dalam masyarakat amat penting. Selain mengutamakan pelajaran di kampus, aktiviti kokurikulum termasuk aktiviti kesukarelawanan sangat diperlukan bagi membentuk keperibadian yang lebih baik.

Beliau yang selaku Naib Ketua UMNO Bahagian Tenggara juga berkata, aktiviti gotong-royong membersihkan dan membaik pulih rumah terutamanya rumah yang dilanda musibah wajar diteruskan. Ianya sebagai usaha meringankan beban rakyat pada waktu kecemasan, di samping merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

Kesempatan ini, beliau merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak iaitu Majlis Belia Daerah Kota Tinggi, mahasiswa Johor, pemimpin masyarakat setempat dan penduduk yang menjayakan program ini. Diharapkan program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.