Dr Xavier didakwa hina institusi diraja

single-image

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Wangsa Maju membuat laporan polis ke atas bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar susulan kenyataan dalam satu video yang tular di media sosial berkenaan persidangan parlimen.

Ketuanya, Mohammed Ridzal Kamal Ghazalee berkata, kenyataan itu adalah satu penghinaan kepada institusi diraja di negara ini dan tidak wajar mana-mana ahli politik mempertikaikan keputusan untuk parlimen bersidang seperti yang berlangsung semalam.

Katanya, penjelasan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah mengenai krisis politik yang berlaku adalah amat jelas dan perlu dihormati oleh semua ahli dewan rakyat.

“Tindakan Dr Xavier jelas menunjukkan yang beliau bukan saja menghina sistem Raja Berperlembagaan di negara ini malahan mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang berkenan memilih pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) dibawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pakatan Harapan (PH) yang kini berada di blok pembangkang dalam sidang dewan rakyat di parlimen perlu menerima hakikat sekali gus meraikan demokrasi sebagai yang diamalkan sejak sekian lama di negara ini,” katanya kepada Harian Metro.

Semalam, menerusi satu video berdurasi selama hampir tiga minit, Ahli Parlimen Kuala Langat itu menyifatkan persidangan berkenaan sebagai sampah dan tidak berguna.

Katanya, ahli parlimen cuma berada sejam saja di Dewan Rakyat untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan Covid-19.

Sidang parlimen diadakan semalam dengan hanya Titah Diraja saja sebagai urusan mesyuarat manakala sesi perbahasan akan diadakan pada satu tarikh ditentukan kemudian.

Sumber : Harian Metro

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.