DMJ desak kerajaan negeri tangguhkan cadangan untuk beri pengecualian Perintah Kawalan Pergerakan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura

single-image
  1. Dewan Muda Johor (DMJ) merujuk kepada sidang media YAB Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Bin Mohammad semalam (18 Mac 2020) di Kota Iskandar berkaitan dengan cadangan Kerajaan Negeri Johor untuk mengujudkan pelan mitigasi libatkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
  2. Antara intipati penting ucapan YAB Menteri Besar adalah untuk memohon perlaksanaan perintah kawalan pergerakan dikecualikan bagi mereka yang memegang pas kerja yang dikeluarkan oleh kerajaan Singapura dan Malaysia. Sebagai contoh, jawatan seperti juruteknik, pelajar, logistik, pekerja profesional dan lain-lain.
  3. DMJ berpendapat bahawa cadangan bagi mendapatkan pengecualian atau untuk membuka semula sempadan Johor-Singapura ini bertentangan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu untuk menutup dua pintu utama jalan darat Johor-Singapura sepenuhnya bermula pada jam 12 tengah malam 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020.
  4. Ia bermakna, 200,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura (yang ulang-alik) tidak dapat pergi bekerja dalam tempoh 14 hari tersebut.
  5. Dalam DMJ bersimpati terhadap nasib rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, DMJ turut berharap Kerajaan Johor dapat mematuhi dan bertindak selari dengan arahan MKN untuk tempoh selama 14 hari PKP tanpa mengecualikan sesiapapun. Ia adalah bertujuan memastikan wabak coronavirus (Covid-19) ini dapat dibendung dan ditangani dengan lebih cepat dan efektif.
  6. Dalam masa yang sama, DMJ berharap agar Kerajaan Negeri Johor lebih memfokuskan kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat Johor dalam menghadapi tempoh sukar ini. Antara cadangan DMJ adalah seperti berikut:

i. Kerajaan Negeri memberikan bantuan secara ‘one-off’ kepada penjaja dan peniaga kecil di Johor yang terkesan akibat Covid-19;

ii. Kerajaan Negeri mengarahkan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) memberikan penangguhan pembayaran bayar balik pinjaman selama 3 bulan bagi meringankan beban peminjam;

iii. Kerajaan Negeri memberikan bantuan dalam bentuk kewangan dan makanan asas kepada golongan B40 yang tersenarai dalam sistem e-kasih;

iv. Kerajaan Negeri mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberikan penangguhan pembayaran cukai selama 3 bulan berkuatkuasa sertamerta;

v. Kerajaan Negeri Johor mengarahkan GLC negeri seperti Jcorp untuk memberikan diskaun 10% seperti produk makanan KFC, Pizza Hut dan Ayamas; dan

vi. Kerajaan Negeri menyediakan bantuan kewangan khas kepada mahasiswa Johor yang berkampung di IPT masing-masing.

DMJ berharap agar Kerajaan Negeri Johor dapat mempertimbangkan desakan dan cadangan DMJ ini bagi memastikan rakyat tidak terbeban sepanjang proses PKP ini berlangsung.

“Demi Johor, Untuk Malaysia”

#DMJ2020

#KuasaPendesak

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.