Dewan Muda Johor (DMJ) Gesa Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Siasat Felda

single-image

Kenyataan Media

5 Mei 2019

1. Dewan Muda Johor (DMJ) telah mengadakan satu sidang khas pada 4 Mei 2019 bagi membincangkan mengenai Kertas Putih Felda. Usul yang dibawakan oleh Saudara Muhamad Jazlie Bin Jabarudin (DMJ 01) adalah berbunyi “”Bahawa Persidangan ini mengambil ketetapan untuk bersetuju dengan ‘semangat’ Kertas Putih Felda. Namun penambahbaikkan yang signifikan diperlukan bagi memastikan perlaksanaanya berjaya.”

2. Melalui perbahasan yang dibahaskan selama hampir 3 jam tersebut, pelbagai maklum balas yang telah dilontar 10 orang pembahas.

3. Naratif yang dibawakan oleh hampir kesemua pembahas adalah mereka bersetuju dengan ‘semangat’ Kertas Putih Felda dan menghargai usaha Kerajaan dalam membawa isu Felda di Dewan Rakyat, namun kandungan Kertas Putih Felda tersebut tidak lengkap dan menyeluruh serta tidak menjawab kepada permasalahan utama iaitu menangani isu kos sara hidup peneroka Felda dan penurunan harga kelapa sawit.

4. Kertas Putih Felda ini dilihat sebagai ‘senjata politik’ untuk menyalahkan kerajaan terdahulu tanpa memaklumkan terdapatnya usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu terutamanya selepas pelantikan Tan Sri Shahrir Samad sebagai Pengerusi Felda yang baharu bermula Februrari 2017.

5. Sebagai contoh, dalam isu urus tadbir, Tan Sri Shahrir Samad telah melakukan pengasingan kuasa dengan melantik tokoh-tokoh korporat bagi menerajui FGV, FIC dan Yayasan Felda, dan beliau hanya menerajui Felda sahaja. Namun perkara itu tidak disebut di dalam Kertas Putih Felda dan seolah-olah pengasingan kuasa tersebut adalah suatu isu yang baharu dan tidak pernah dilakukan oleh Kerajaan terdahulu.

6. DMJ tidak berniat untuk mempertahankan Kerajaan terdahulu, jauh sekali untuk menyatakan tidak ada isu salah urustadbir dan sebagainya. Namun, jika Kerajaan dan Menteri yang terlibat percaya bahawa terdapat isu salah laku dan salah urustadbir di dalam Felda, maka DMJ mengalu-alukan siasatan dan pendakwaan dilakukan terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab dengan kadar yang segera.

7. Di dalam Kertas Putih Felda juga tidak memaklumkan mengenai sama ada Model Felda 2.0 seperti mana yang diaplikasikan di Felda Lurah Bilut akan diteruskan atau akan dihentikan dibawah kerajaan yang baharu. DMJ percaya Model 2.0 tersebut merupakan salah satu teknik modenisasi di dalam rancangan Felda dan secara tidak langsung untuk mengelakkan generasi ke-2 dan ke-3 Felda keluar daripada kawasan rancangan masing-masing.

8. Selain itu, dalam isu Perumahan Generasi Belia Felda (PGBF), DMJ berharap agar isu ini diselesaikan dan mana-mana projek terbengkalai tidak kira berapa peratus siap, diteruskan. Dalam masa yang sama, DMJ mencadangkan agar model perumahan yang lebih murah dan mampu milik diperkenalkan dan urusan pembiayaan bantuan bank dipermudahkan terutamanya kepada generasi Felda yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai slip pendapatan yang tetap.

9. Dalam perbahasan tersebut, DMJ juga menyeru agar NGO-NGO Felda seperti MBFM, MPBF, ANAK dan lain-lain memainkan peranan penting sebagai kuasa pendesak kepada pengurusan Felda serta Kerajaan dan bersikap ‘non-partisan’, agar kepentingan peneroka Felda sentiasa menjadi keutamaan dalam apa keadaan sekalipun.

10. DMJ turut menyedari bahawa isu utama Felda adalah hasil dan hutang peneroka. Kedua-dua isu utama ini tidak dapat ditangani dengan baik melalui pembentangan kertas putih ini. Maklum balas yang didapati adalah pendapatan bersih majoriti peneroka Felda adalah pada sekitar RM 600 sebelum ditolak perbelanjaan harian. Tekanan dan bebanan ini tidak disentuh dengan baik oleh Kertas Putih terutama bagaimana mekanisme kerajaan untuk meningkatkan kembali hasil atau pendapatan peneroka.

11. Di akhir perbahasan, pembahas yang menggulung iaitu Saudara Jazlie (DMJ 01) sekali lagi mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat Felda dan satu Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen (‘Parliment Select Commitee’) untuk memperhalusi dan menambahbaik Kertas Putih Felda yang dilihat terdapat banyak kelompongan dan tidak menyelesaikan isu pokok Felda iaitu peneroka Felda dan kejatuhan harga minyak sawit.

– Tamat –

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.