Dedahkan pihak yang bertanggungjawab – Khaled Nordin

single-image

1. Akhirnya, untuk pertama kali kita semua mendengar permohonan maaf dan lafaz kesal oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Dr. Sahruddin Jamal berhubung dengan insiden pencemaran berulang-ulang kali di Pasir Gudang.

2. Selaku penduduk Pasir Gudang, biarpun saya kesal dan berasakan bahawa semua itu sudah terlambat, saya percaya bahawa setidak-tidaknya kini YAB Menteri Besar Johor bersedia untuk berhadapan dan menguruskan perkara ini dengan cara yang lebih terbuka.

3. Walaubagaimanapun, kenyataan YAB Menteri Besar Johor tidak lebih dari sekadar permohonan maaf. Ia tidak disusuli dengan sebarang penjelasan tentang:

(a) Apakah pelan dan strategi Kerajaan Negeri untuk menguruskan insiden ini yang masih belum selesai sepenuhnya.

(b) Adakah wujud sebarang pampasan kepada mangsa dan keluarga daripada pihak yang bertanggungjawab.

(c) Adakah Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan sebarang bantuan atau sumbangan kepada para mangsa dan keluarga mereka.

(d) Selain kemungkinan untuk memindahkan kilang-kilang dari Pasir Gudang ke kawasan lain yang belum diputuskan secara muktamad, tidak dinyatakan apakan pelan bagi mengukuhkan pengurusan dan pemantauan oleh pihak berkuasa tempatan agar tragedi yang sama tidak berulang. Khususnya pelan pemulihan atau rehabilitasi kawasan industri.

(e) Paling penting, bilakah Kerajaan Negeri akan mendedahkan nama pihak-pihak yang dituduh bertanggungjawab.

4. Saya sangat berharap yang YAB Menteri Besar Johor memahami bahawa permohonan maaf semata-mata tidak akan memulihkan keadaan dan menyelesaikan isu ini.

5. Saya yakin semua pihak harus menyumbang dengan kapasiti masing-masing. Semoga penyelesaian dan pengakhiran yang baik akan dapat kita capai dalam bersama-sama berusaha agar perkara yang sama tidak berulang lagi sama sekali.

DATUK SERI HJ. MOHAMED KHALED NORDIN
Naib Presiden UMNO

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.