Dana Didik Jauhar Kids Beri Masa Depan Yang Cerah

single-image

Secara umum, semua ibu bapa di dunia ini ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Tidak kira dari segi kesihatan, pemakanan mahupun tempat perlindungan. Bukan itu sahaja, pendidikan yang lengkap dan sempurna juga antara elemen utama yang ingin diberikan kepada anak-anak mereka.

Hal ini kerana bidang pendidikan dapat mengubah kehidupan seseorang termasuk senario politik, ekonomi dan sosial negara. Malah melalui pendidikan juga ia mampu membangunkan dan mencipta masyarakat yang terbaik sekali gus dapat melahirkan generasi yang mampu menyumbangkan sesuatu yang bernilai kepada negara.

Perkara ini selari dengan matlamat negeri Johor yang ingin membangunkan dan mencipta masyarakat yang terbaik bagi Dekad Baharu Johor. Bagi menuju ke arah itu, sudah tentu pelbagai agenda telah dirangka dengan tersusun dan teliti oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan segala aspirasi negeri Johor akan tercapai.

Justeru itu, bagi mencipta masyarakat yang terbaik, Kerajaan Negeri telah memulakan derap langkahnya dengan membangunkan generasi awal bagi melahirkan modal insan yang terbaik. Jadi, pendidikan merupakan platform terbaik dan menjadi alat terpenting dalam membangunkan sesebuah modal insan.

Walau bagaimanapun, tanpa ada sebarang perancangan yang teratur dan strategik dari peringkat awal kelahiran seseorang ia tidak akan membawa apa-apa makna. Permasalahan ini yang menjadi titik tolak kepada Kerajaan Negeri bagi membantu anak-anak Johor dalam memastikan mereka dapat menikmati pendidikan yang terbaik.

Oleh itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan satu inisiatif bagi mengatasi masalah ini iaitu melalui inisiatif Dana Didik Jauhar Kids. Inisiatif Dana Didik Jauhar Kids merupakan salah satu langkah efektif bagi membangunkan dan mencipta masyarakat Johor yang terbaik.

Inisiatif ini telah diumumkan oleh YAB Dato Mohamed Khaled Bin Nordin menerusi ucapan Bajet Negeri Johor 2018. Dana Didik Jauhar Kids adalah inisiatif baharu yang diperkenalkan untuk menggalakkan budaya menabung dan pelaburan sejak seawal usia baru lahir.

Oleh itu, setiap bayi yang dilahirkan di Johor bermula 1 Januari 2018 berpeluang untuk memohon Dana Didik Jauhar Kids. Inisiatif ini telah mendapat kerjasama antara Yayasan Pelajaran Johor, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Johor Bahru, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Jabatan Pendaftaran.

Dalam masa yang sama, Dana Didik Jauhar Kids juga merupakan salah satu usaha untuk memberi kesedaran awal kepada semua ibu bapa tentang kepentingkan dana pendidikan anak-anak mereka dari peringkat awal lagi.

Malah ibu bapa juga perlu memahami dan sedar bahawa menabung dari peringkat awal adalah amat penting bagi keperluan anak-anak mereka pada masa akan datang. Sesuai dengan pepatah melayu “sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit”.

Persoalannya apakah rasionalnya, Dana Didik Jauhar Kids bagi anak-anak Johor?

Pertama, generasi ini merupakan modal insan yang akan mewarnai pembangunan dan ekonomi negeri Johor pada suatu hari nanti. Dan Kerajaan Negeri sedar mengenai kepentingan ini maka wujudnya Dana Didik Jauhar Kids untuk memberi peluang kepada anak-anak Johor memiliki akaun dana pendidikan seawal usia baru lahir.

Kedua, melihat kepada keadaan semasa, Dana Didik Jauhar Kids ini dapat menjamin peluang pendidikan yang lebih cerah. Hal ini kerana perancangan dalam penyediaan pembiayaan pendidikan dari awal adalah penting untuk menjamin pelaksanaan pendidikan anak-anak Johor pada masa akan datang. Memandangkan kos pendidikan masa kini yang semakin meningkat jadi Dana Didik Jauhar Kids relevan untuk dilaksanakan.

Ketiga, anak-anak Johor dapat mengurangkan pergantungan kepada pinjaman pendidikan apabila mereka ingin menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi kelak.

Jadi melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri yakin sedikit sebanyak ia dapat membantu meringankan beban kos pembelajaran anak-anak Johor pada masa akan datang. Malah ia juga mampu membantu mengelakkan sebarang masalah dan tekanan kepada ibu bapa untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka.

Secara tidak langsung, melalui inisiatif ini juga ia membuktikan Kerajaan Negeri sangat mengutamakan pendidikan anak-anak Johor. Malah Kerajaan Negeri juga akan terus fokus dalam melahirkan modal insan yang terbaik bagi menghadapi Dekad Baharu Johor.

Oleh : Nor Syakinah Binti Md Nukman

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.