Dahulu sibuk, kini R&R Gelang Patah sunyi

single-image

HENTIAN Rehat dan Rawat (R&R) Gelang Patah arah Utara yang sebelum ini dikenali sebagai antara R&R paling sibuk di negara ini, kini sepi dan tiada pengunjung sejak sempadan Malaysia-Singapura ditutup, 18 Mac lalu.

Tinjauan di R&R berkenaan yang terletak kira-kira satu kilometer dari Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah itu mendapati kebanyakan lot niaga makanan dan minuman dibuka walaupun pengunjungnya hanya dapat dibilang dengan jari.

Peniaga lot medan selera di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Salbiah, 50, berkata, keadaan di situ amat berbeza sebelum ini dengan ribuan pengunjung terutama pekerja Malaysia di Singapura akan singgah bersarapan atau membungkus makanan seawal dari jam 4 pagi setiap hari.

“Namun sejak sempadan ditutup 18 Mac lalu, keadaannya menjadi hambar malah kami juga baru beroperasi secara penuh mulai Isnin lalu dengan jumlah pengunjung yang sangat sedikit.

“Dulu lebih 10 bas dipenuhi pekerja akan berhenti setiap kali pada waktu Subuh tidak termasuk pemandu lori dan ribuan penunggang motosikal yang bersarapan atau membungkus makanan di sini untuk dibawa ke Singapura.

“Sekarang hanya pekerja dan penduduk berhampiran sahaja yang singgah membeli makanan sehingga ada pengusaha yang terpaksa menutup perniagaan awal sejak kelmarin kerana tidak mendapat sambutan, ” katanya ketika ditemui.

Mengikut statistik, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia kini mencari nafkah di Singapura dengan hampir 200,000 daripadanya berulang-alik antara Johor Bahru ke negara itu, setiap hari menaiki motosikal.

Rakyat Malaysia berulang alik ke Singapura menerusi dua pintu masuk darat utama iaitu CIQ Bangunan Sultan Iskandar, di Tambak Johor yang menghala ke Woodlands selain KSAB, Gelang Patah, yang menghala ke Tuas, Singapura.

Sementara itu, pemandu lori, S Ramesh, 43, berkata, dia juga merindui suasana meriah di R&R berkenaan yang sebelum ini sentiasa dipenuhi pelanggan sepanjang masa selain dikenali dengan makanan enak terutama nasi lemaknya.

“Kasihan juga lihat pengusaha medan selera yang mengadu terpaksa memberi cuti kepada kebanyakan pekerja kerana tidak mampu menggajikan mereka sehinggalah keadaan pulih nanti.

“Harapnya apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka nanti kemeriahan kawasan R&R Gelang Patah akan kembali kepada asal, ” katanya.

Sumber : Berita Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.