Covid-19 : SK Taman Desa Skudai ditutup

single-image


JOHOR BAHRU: Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa Skudai, dekat sini ditutup bermula hari ini sehingga 23 Oktober depan susulan pengesanan satu kes positif COVID-19.

Notis arahan yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor turut memaklumkan mengenai penutupan sekolah itu dipasang pada pagar utama sekolah berkenaan.

Difahamkan, penutupan sekolah dan ujian calitan dilakukan berikutan terdapat seorang murid lelaki Tahun Tiga, disahkan positif COVID-19 dua hari lalu dan kini dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Tinjauan wartawan bersama jurugambar dari luar perkarangan sekolah berkenaan mendapati berlaku kekecohan apabila murid menangis ketika menjalani ujian calitan sebelum seorang daripada mereka cuba melarikan dari petugas kesihatan yang lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) sehingga terpaksa didukung.

Menurut sumber, murid berkenaan yang sudah pun menjalani ujian calitan menangis kerana trauma melihat petugas kesihatan yang berpakaian PPE.

Murid itu adalah seorang daripada 70 kontak rapat yang perlu menjalani ujian calitan hari ini. 

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan pengesahan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang dan Pengarah Pendidikan Johor, Shaharuddin Saari, 

masih gagal.

Difahamkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dijadualkan melakukan kerja sanitasi di sekitar sekolah itu pada petang ini.

Sumber : Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.