COVID-19 : Kerajaan umum bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin

single-image

PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju memperuntukkan bantuan khas kewangan bagi kesan mudarat vaksin COVID-19 untuk rakyat tempatan dan warga asing berjumlah RM10 juta yang memperolehnya melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata peruntukan itu membabitkan dua kategori bantuan iaitu RM50,000 bagi penerima yang menerima kesan sampingan serius dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan oleh vaksin COVID-19.

Beliau berkata, bantuan khas kewangan itu bagaimanapun perlu dinilai terlebih dahulu oleh tiga jawatankuasa khas yang turut ditubuhkan.

“Kerajaan bersetuju untuk menyediakan dana permulaan sebanyak RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi tujuan bayaran bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19.

“Bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19 ini adalah langkah proaktif Kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan (adverse effects) daripada penggunaan vaksin.

“Selain itu, ia juga dapat membantu menampung keperluan penerima vaksin dan keluarga yang berkemungkinan terjejas akibat kesan daripada pengambilan vaksin ini kelak,” katanya pada sidang media perkembangan PICK, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Sumber : Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.