COVID-19: Kadar kesembuhan lebih tinggi berbanding dua gelombang sebelum ini – Dr Adham

single-image

Malaysia berjaya mengimbangi kes positif jangkitan COVID-19 dan pesakit yang sedang dirawat di hospital dengan kadar kesembuhan lebih tinggi berbanding ketika gelombang pertama dan kedua pandemik itu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya kejayaan itu adalah hasil daripada usaha kerajaan yang menggunakan pelbagai langkah kesihatan awam dalam menangani pandemik dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Ada sesetengah pihak mahu PKPB ditamatkan lebih awal, namun kita (kerajaan) perlu melihat penilaian risiko iaitu trend ataupun kebolehjangkitan dalam komuniti sebelum membuat keputusan yang wajar.

“Walaupun kita (rakyat) dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pergerakan, mengimplimentasikan segala penguatkuasaan dan norma baharu menjadi mandatori, perlu diingatkan bahawa setakat ini masih tiada ubat khusus untuk merawat COVID-19.

“Yang ada hanya rawatan yang berpatutan untuk kadar kesembuhan yang tinggi,” katanya, mengulas situasi semasa COVID-19 dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan oleh RTM menerusi TV1 pagi tadi.

Katanya setakat semalam, kadar kesembuhan dan discaj mencatatkan 73.4 peratus daripada keseluruhan 48,520 jumlah kes positif, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 12,601 kes.

Dr Adham berkata bagi mengawal penularan COVID-19 dalam komuniti, PKPB dan PKPD dilihat sebagai jalan yang terbaik untuk melandaikan lengkuk jangkitan.

“Pergerakan antara daerah dan negeri membantu mengawal kawasan hijau daripada bertukar status kepada kawasan jingga dan merah. Sekiranya tidak dapat dikawal maka PKPD perlu dilaksanakan,” katanya.

Mengenai vaksin COVID-19, Dr Adham berkata sebelum mendapatkannya, Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan data klinikal fasa ketiga bagi melihat keberkesanan dan keselamatan serta kualiti vaksin itu.

“Walaupun Pfizer dan BioNtech menyasarkan 90 peratus keberkesanan, manakala Moderna mengatakan 94 peratus berkesan, kita masih lagi perlu berunding dengan pihak pembangun vaksin.

“Selain itu, KKM juga perlu memastikan vaksin tersebut tidak mempunyai kesan sampingan terhadap mereka yang akan disuntik kelak. Kita mahu vaksin itu dapat melindungi ataupun dapat mengawal jangkitan selain melindungi diri daripada jangkitan seterusnya,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Comment

Your email address will not be published.