COVID-19: Johor julung kali catat angka harian tertinggi

single-image

PUTRAJAYA: Johor mencatatkan angka harian tertinggi jangkitan baharu COVID-19 untuk julung kali, hari ini, membabitkan sebanyak 607 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bilangan itu meliputi 32.5 peratus daripada keseluruhan 1,870 kes baharu direkodkan, hari ini.

Katanya, Selangor menyusul dengan 472 jangkitan (25.2 peratus), manakala Sabah melaporkan 280 kes (15.0 peratus).

Beliau berkata, kes baharu di Johor itu merangkumi 578 jangkitan (95.2 peratus) daripada kluster sedia ada serta saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Peningkatan jangkitan di Johor dipengaruhi kluster berkaitan penjara, iaitu Kluster Tembok Choh yang melaporkan 374 kes (61.6 peratus),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak berkenaan di Malaysia mencecah 110,485 kes.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, 745 pesakit dilaporkan pulih, menjadikan jumlah kumulatifnya 87,460 kes (79.2 peratus).

Sumber : Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.